Blok bebas yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak usul Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020.
Beliau menyifatkan tindakan kerajaan untuk menambah bilangan menteri, timbalan menteri termasuk melantik individu sebagai duta khas bertaraf menteri sebagai satu pembaziran ketika negara berdepan kemelesetan ekonomi akibat COVID-19.
“Di sini kita dapati bahawa pihak kerajaan telah tambah bilangan anggota Kabinet dengan tidak mengambil kira kemampuan kerajaan.
“Kalau dahulu kerajaan PH, apabila tubuh kerajaan kita kurangkan bilangan menteri dan timbalan menteri, tapi sekarang dalam pendapatan kerajaan kurang ditambahnya menteri sehingga lebih 30, ada pula menteri istimewa yang menjadi menteri kanan dan ada individu dilantik sebagai (duta) bertaraf menteri kononnya nak jaga perhubungan tertentu dengan negara Timur dan di Timur Tengah (Asia Barat), malah diberi pelbagai kemudahan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan bagi usul Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020 di Parlimen di sini, pada Isnin.
Atas alasan itu, Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, usul itu perlu ditolak sama sekali oleh dewan.
“Saya berpendapat bahawa usul ini patut ditolak sama sekali oleh dewan ini jika dewan bertanggungjawab, kalau dewan tidak bertanggungjawab bolehlah sokong dan kita akan bazir wang,” tambahnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata kesan daripada COVID-19 hasil pendapatan negara juga tidak dapat dikutip menambahkan lagi beban kewangan negara.
“Kutipan cukai tidak dapat dibuat macam biasa kesan dari COVID-19, ini bermakna kerajaan kekurangan wang dengan teruk yang tidak pernah berlaku.
“Kerajaan sepatutnya kurangkan perbelanjaan supaya kita tidak ada defisit terlalu tinggi,” katanya.
Berita penuh: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kem-mahathir-tolak-ruu-tambah-peruntukan-untuk-jawatan-baharu-di-kementerian-255571