TERKINI : Semua calon Amanah guna lambang Warisan dalam PRN Sabah

KENYATAAN MEDIA: PRN SABAH

1. Parti AMANAH Negara (AMANAH) menolak budaya politik khianat yang telah menyebabkan tumbangnya kerajaan Persekutuan dan beberapa kerajaan Negeri.

2. Politik lompat atau khianat ini bukan sahaja mengkhianati parti yang diwakili tetapi juga rakyat jelata. Ini adalah kerana kerajaan pilihan rakyat dijatuhkan dan rakyat dinafi hak mereka untuk mendapat kerajaan pilihan mereka.

3. Sabah turut menjadi mangsa politik khianat ini dan kalau tidak kerana tindakan pantas oleh Datuk Seri Shafie Apdal (DSSA) maka golongan yang ditolak rakyat telahpun membentuk kerajaan Negeri Sabah seperti yang berlaku di peringkat persekutuan.

4. AMANAH berdiri teguh bersama DSSA dan Warisan dalam berjuang untuk mempertahankan kedaulatan rakyat Sabah yang dicabuli golongan pengkhianat ini. Sebagai tanda solidariti dan kebersamaan, AMANAH telah memutuskan bahawa calon-calon AMANAH akan menggunakan lambang Warisan semasa bertanding dalam PRN yang bakal diadakan pada bulan September ini.

5. Penggunaan lambang Warisan adalah sebagai tanda sokongan terhadap kedudukan DSSA sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah dan jawatan ini wajar dikembalikan kepadanya. AMANAH bersetuju bahawa kedudukan Ketua Menteri perlu ditetapkan oleh rakyat Sabah, melalui sebuah parti Sabah itu sendiri dan bukan oleh pihak Semenanjung.

6. Oleh itu, walaupun PRN ini satu peluang baik untuk AMANAH memperkenalkan lambangnya, namun tanda solidariti dan kebersamaan diberikan keutamaan.

7. Penggunaan lambang Warisan juga melambangkan penerimaan AMANAH terhadap MA63 yang telah lama dibelakangkan oleh BN sepanjang tempoh pemerintahan mereka.

Khalid Bin Abd Samad
Pengarah Komunikasi
Parti AMANAH Negara.
Pada 2 September 2020

Sumber :