“Tiada bincang mengenai politik hari ini, fokus kita adalah bekerja” – Masidi Manjun. Semua 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkumpul di Sri Gaya di sini, petang semalam, bagi membincangkan persediaan Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Masidi Manjun, berkata tiada isu lain dibincang dalam perjumpaan berkenaan, sebaliknya perbincangan bagi menyelaras perjalanan Persidangan Khas DUN.
“Semua 44 ADUN berkumpul bagi membincangkan persediaan Persidangan Khas DUN esok yang akan membentangkan dua usul rang undang-undang (RUU).
“Kita tiada bincang hal lain (dalam perjumpaan ini). Kita hanya bincang soal penyelarasan untuk persidangan esok, contohnya siapa yang akan berucap,” katanya ketika ditemui pemberita.
ADUN terbabit merangkumi 29 dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS), diikuti tujuh ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah, UMNO (lima) dan masing-masing seorang ADUN Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), PAS dan Bebas.
Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, RUU yang akan dibentangkan hari ini berkaitan enakmen penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Sabah dan enakmen penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah.
Katanya, semua ADUN perlu melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan menghadiri persidangan khas itu dan bersidang secara matang bagi meluluskan kedua-dua RUU terbabit.
“Kita berharap semua YB (Yang Berhormat) bersikap matang, datang ke DUN untuk menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat bagi meluluskan dua RUU yang akan dibentangkan hari ini.
“RUU itu penting kerana ia ada kaitan dengan autonomi Sabah untuk mengurus sendiri hal ehwal gas. Sebelum ini ia di bawah Suruhanjaya Tenaga (ST) Persekutuan dan PETRONAS.
“Ini adalah antara hasil rundingan kerajaan negeri berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Ditanya sama ada rombakan Kabinet yang disebut Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini ada dibincangkan dalam perjumpaan itu, Masidi berkata perkara itu juga tidak dibincangkan.
“Tiada bincang mengenai politik, kami cuti daripada politik hari ini. Rombakan Kabinet pun tidak dibincangkan, fokus kita adalah bekerja,” katanya kemarin.
Persidangan khas DUN esok bakal menjadi tumpuan selepas Barisan Nasional (BN) dan UMNO mengumumkan menarik sokongan yang diberikan kepada kerajaan negeri pimpinan Hajiji sejak Jumaat lalu.
BACA JUGA:
Sektor Korporat akan menghadapi empat cabaran besar tahun ini
Isu Kenaikan Harga Hotel di Tanah Suci cuba ditangani walaupun diluar kawalan kerajaan
Wanita berumur 50-an bergiat dalam dunia lukisan selepas pandemik