Tiada lagi rahsia… Ustaz Kazim tunjuk kesan penyakit pada tubuhnya

Tiada lagi rahsia… Ustaz Kazim tunjuk kesan penyakit pada tubuhnya. Pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias menderita penyakit misteri sejak lapan bulan lalu menyebabkan luka seluruh badan termasuk di bahagian muka.

Perkara itu dikongsi Mohd Kazim atau dikenali Ustaz Kazim dalam hantaran di Facebook rasminya pada Rabu dan Khamis yang menunjukkan muka dan sebelah tangannya ditumbuhi beberapa ketulan kecil warna hitam.

Beliau berkata, keadaan itu bukan sahaja menimbulkan rasa sakit, gatal dan pedih malah membuatkan dirinya gelisah hingga tidak boleh tidur seharian sejak berbulan lalu.

“Ini keadaan muka saya sekarang dan selama ini saya sembunyikan melalui tampalan apabila muncul di khalayak.

“Bukan hanya di muka, malah seluruh badan dan ia boleh terjadi luka dengan sendiri sehingga mengeluarkan darah tanpa semena-mena.

Tiada lagi rahsia... Ustaz Kazim tunjuk kesan penyakit pada tubuhnya

“Saya siarkan lengan sebagai kiasan pada badan saya. Saya tak boleh siarkan keadaan yang lain kerana saya malu dan rasa rendah diri sangat-sangat,” kongsinya.

Menurut Ustaz Kazim, usaha mendapatkan rawatan moden dan tradisional telah dilakukan dalam tempoh lapan bulan ini, namun masih belum sembuh sepenuhnya.

“Saya dah berusaha berubat dibanyak tempat, tetapi belum diberi keizinan oleh ALLAH. Terima kasih kepada yang menawarkan bantuan dan nasihat kesihatan kepada saya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut melahirkan rasa bimbang sekiranya derita yang dialaminya itu akan ‘menghilangkannya’ dari dunia dakwah.

Katanya, semua undangan bagi program ceramah masih diterima setakat ini dan ada ketikanya terpaksa pulang dalam keadaan tergesa-gesa kerana tidak dapat menahan kepedihan dan kesakitan ditanggung.

“Walau kadang-kadang dilabel sombong kerana tidak beramah mesra dengan pendengar seperti dulu-dulu, saya tetap tabahkan hati kerana saya tahu orang ramai tidak tahu keadaan sebenar saya.

“Selama ini saya simpan keadaan diri saya tetapi saya rasa tidak boleh lagi sembunyi daripada orang ramai.

“Saya juga memohon maaf jika selama ini perkataan dan tingkah laku saya ada yang mengguris hati semua,” katanya.

Sementara itu, abang Ustaz Kazim, Datuk Mohd Najmuddin Elias ketika dihubungi berkata, sakit yang dialami adiknya itu sukar untuk pulih meskipun pelbagai kaedah rawatan telah dilakukan.

Begitupun katanya, sejak menjalani rawatan secara Islam, keadaan Ustaz Kazim tidak serius seperti awal dahulu.

“Keadaan kulit macam itulah yang dihadapi beliau di beberapa bahagian badannya. Beliau kini semakin baik walaupun kadang kala ada juga rasa sakit lain yang datang dari semasa ke semasa,” katanya.

Sinar Harian pada 2 Oktober tahun lalu melaporkan, keluarga Ustaz Kazim tidak menolak dakwaan kesakitan yang dialami pendakwah terkenal itu adalah akibat terkena sihir.

Beliau ketika itu, menderita bengkak kaki hingga menyukarkannya untuk berjalan. Pakar perubatan yang ditemui bagi tujuan rawatan tidak dapat mengesan punca penyakit terbabit.

BACA:

Ini fakta yang perlu anda tahu mengapa sedan lebih baik dari SUV

Zahid bakal disaman oleh Dr Mahathir pula

Harga barang melambung, Farahdhiya tangguh dulu hasrat buka restoran