Tiada peningkatan jumlah mangsa banjir Johor, Sabah buat masa ini. Jumlah mangsa banjir di negeri ini tidak banyak berubah kerana seorang sahaja dibenarkan pulang sejak jam 4 petang semalam.
Mangsa banjir kekal 925 orang daripada 264 keluarga di dua daerah yang terjejas, sehingga jam 8 pagi tadi.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata tinggal dua lagi daerah masih menempatkan mangsa banjir di pusat pemindahan banjir (PPS) di Segamat dan Batu Pahat.
“Segamat masih merekodkan jumlah mangsa banjir seramai 48 orang daripada 15 keluarga yang ditempatkan di dua PPS dekat daerah itu.
“Batu Pahat masih berbaki 877 mangsa terdiri daripada 249 keluarga yang berada di enam PPS,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, cuaca di semua daerah pula cerah sehingga jam 8 pagi tadi kecuali Mersing yang mengalami hujan.
Azmi turut memaklumkan Jalan Tanah Abang di Mersing masih ditutup untuk laluan semua jenis kenderaan berikutan banjir pada paras air mencecah 0.85 meter.
Pada masa sama, jam 5 pagi tadi, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir di Mersing yang dijangka berlaku sehingga jam 9 pagi.
Sementara itu, banjir di Sabah meningkat sedikit kepada 535 orang daripada 165 keluarga dan ditempatkan di sembilan PPS, berbanding 478 orang daripada 151 keluarga malam tadi.
“Mangsa teramai dipindahkan di Telupid iaitu 208 orang daripada 65 keluarga dipindahkan ke empat PPS, manakala di Beaufort, 200 orang daripada 55 keluarga dan dipindahkan ke satu PPS.
“Seramai 79 orang daripada 36 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Paitan dan di Beluran 48 orang daripada sembilan keluarga di dua PPS,” menurut kenyataan itu.
BACA JUGA:
Lebih baik fokus kepada isu sekolah yang lain berbanding isu anjak waktu persekolahan
Pakej Perpaduan Jalur Lebar salah satu inisiatif terbaik turunkan kos sara hidup rakyat