TMJ ” sekolahkan ” MFL buat netizen puas hati

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, mengkritik keputusan Malaysian Football League (MFL) yang meringankan hukuman terhadap Selangor FC selepas insiden yang mengundang kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurut Tunku Mahkota Ismail, tindakan melibatkan Sultan dalam isu bola sepak berpotensi menimbulkan kebimbangan dan menjadi ikutan oleh pasukan lain yang bermasalah. “Selepas ini yang mana kelab tidak membayar gaji, tarik diri sesuka hati, melanggar undang-undang liga, suruh Sultan tulis surat murka sahaja senang,” tulisnya di akaun Facebook rasmi beliau. Beliau juga mempersoalkan apakah pasukan dari negeri lain juga boleh meminta Sultan masing-masing untuk menulis surat bagi meringankan hukuman mereka.

Kritikan ini timbul selepas Sultan Sharafuddin Idris Shah menyuarakan kekecewaannya terhadap keputusan MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai ketidakhadiran Selangor FC ke perlawanan Sumbangsih pada 10 Mei lalu. Baginda juga kecewa dengan sikap Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, yang tidak serius dalam menangani isu ini walaupun Hamidin mempunyai pengalaman panjang dalam arena bola sepak Selangor.

Tunku Mahkota Johor kritik keputusan MFL kurangkan hukuman terhadap Selangor FC

Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang juga Penaung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), menyifatkan hukuman yang dikenakan terhadap Selangor FC, termasuk denda RM100,000, bayaran pampasan, pemotongan tiga mata, dan hukuman perlawanan tanpa penonton, sebagai tidak masuk akal dan berlebihan. Baginda berpendapat bahawa hukuman tersebut terlalu keras memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan.

Tunku Mahkota Ismail turut mengingatkan bahawa Johor Darul Ta’zim (JDT) telah dikenakan denda yang besar sejak 2013 dan beliau sendiri pernah dikenakan penggantungan selama enam bulan tanpa campur tangan Sultan Johor. Beliau menyindir keputusan MFL yang membuat pusingan ‘U’ tanpa surat rayuan dan menyindir tindakan memuji MFL selepas keputusan tersebut.

“JDT daripada 2013 kena denda beratus ribu, saya kena ‘banned’ 6 bulan, tidak ada pun Tuanku Sultan Johor keluarkan surat atau buat kenyataan. Siap mengungkit beri pingat Datuk. MFL buat ‘U-Turn’ tanpa surat rayuan. Yang memekak hentam MFL baik puji MFL sekarang,” tulisnya. Tunku Mahkota Ismail menutup kenyataannya dengan sindiran pedas, menyebut bahawa beliau mempersembahkan “Tokong sebenar bola sepak Malaysia” kepada orang ramai.

Baca : Mat Salleh pelik orang Malaysia berebut naik lif tak nak naik eskalator