Treler tong gas terbalik, pemandu tersepit

Treler tong gas terbalik, pemandu tersepit.

Seorang pemandu tersepit di bahagian hadapan kenderaan selepas treler membawa muatan tong gas yang dipandunya terbalik di Kilometer 17 Jalan Bahau-Rompin tengah hari Isnin.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kejadian jam 12.25 tengah hari itu berlaku semasa pemandu lelaki berusia 45 tahun itu membawa muatan tong gas kosong dalam perjalanan dari Bahau menghala ke depoh Melaka untuk pengambilan gas.

“Apabila tiba di selekoh di lokasi kejadian, pemandu berkenaan dipercayai gagal mengawal kenderaannya sehingga memasuki laluan bertentangan dan terus melanggar tebing jalan lalu terbalik dan melintang di tengah jalan.

“Kejadian itu menyebabkan semua muatan tong gas yang kosong telah bertaburan di atas jalan dan pemandu telah tersepit di bahagian hadapan kenderaannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Chang Hook berkata, mangsa bagaimanapun telah berjaya dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat yang tiba di lokasi.

“Dia yang mengalami kecederaan patah tangan kanan dan kaki kanan telah dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah untuk rawatan lanjut, manakala treler dan tong gas berkenaan telah dialihkan sepenuhnya kira-kira jam 5.30 petang.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa,” katanya.

Dalam pada itu, Chang Hook turut menasihati pengguna jalan raya untuk memastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan dan memandu dengan berhemah agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.

BACA JUGA:

Seorang remaja lelaki OKU sesat, diselamatkan oleh polis

Johor, Sabah amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya

Berjaya turunkan berat badan berlebihan, Regine Wong jadi jurulatih popular di TikTok

COMMENTS

Wordpress (0)