Seorang penunggang motosikal dilontarkan ke udara selepas bertembung dengan kereta yang dipandu oleh seorang warga asing yang secara tiba-tiba menukar laluan di Kilometer 123.2, Lebuhraya Utara-Selatan arah Yong Peng pada hari ini.
Kejadian yang berlaku pada jam 1.45 tengah hari itu melibatkan sebuah kereta dan motosikal, dan menjadi viral di media sosial.
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, siasatan awal menunjukkan bahawa pemandu kereta tersebut secara tiba-tiba menukar laluan dari kiri ke lorong kecemasan.
“Penunggang motosikal yang datang dari belakang tidak sempat mengelak dan bertembung dengan kereta tersebut di sebelah kirinya,” katanya.
Video kejadian itu dimuat naik ke media sosial pada jam 5.49 petang.
“Pemandu warga asing berusia 52 tahun tersebut telah membuat laporan di Balai Polis Yong Peng pada jam 5.20 petang, manakala penunggang motosikal belum lagi membuat laporan.
“Kami berharap penunggang tersebut akan membuat laporan untuk membantu siasatan,” tambahnya dalam kenyataan malam ini.
Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ini merupakan kes kedua yang melibatkan pemandu warga asing menggunakan lorong kecemasan di lebuh raya dalam tempoh kurang dari seminggu.
Pada Sabtu lepas, seorang pemandu warga asing berusia 40-an ditahan kerana didakwa memukul seorang lelaki tempatan dengan tongkat kerana menghalang kenderaannya menggunakan lorong kecemasan.
Suspek tersebut telah ditahan pagi tadi di Genting Highlands dan direman selama empat hari bermula hari ini.
Baca Juga : Lelaki kena denda RM48 Juta selepas tebang pokok jiran depan rumah