Tunggang motosikal dengan aksi berbahaya, lima lelaki ditahan

Tunggang motosikal dengan aksi berbahaya, lima lelaki ditahan.

Polis menahan lima lelaki berusia antara 17 hingga 39 tahun setelah didapati menunggang motosikal secara berbahaya di jalan pekan Parit Raja – Ayer Hitam, Batu Pahat pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Assisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kesemua lelaki berkenaan ditahan hasil maklumat orang ramai berhubung aktiviti tidak sihat oleh pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal.

“Hasil maklumat yang disalurkan itu, satu operasi samseng jalanan dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Batu Pahat di sekitar pekan Parit Raja pada Sabtu dalam usaha membanteras aktiviti tidak sihat berkenaan.

“Hasilnya, lima lelaki ditahan ketika melakukan aksi menundukkan dagu di atas speed meter serta menunggang secara laju, menukar haluan tanpa memberi isyarat dan berpatah semula beberapa pusingan.

“Kesemua aksi tersebut nyata sangat berbahaya kepada diri mereka sendiri dan juga kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Difahamkan, video aksi berbahaya kesemua suspek turut tular di laman sosial facebook Parit Raja Ayer Hitam dengan tajuk ‘projek yang tak nampak.’

Kesemua suspek dituduh di bawah Seksyen 42(1) Pindaan 2020 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan pertama boleh dihukum tidak kurang lima tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen sehingga melebihi lima tahun.

Bagi kesalahan berikutnya, boleh dihukum tidak kurang 10 tahun dan denda RM10,000 hingga RM20,000 serta hilang kelayakan lesen sehingga 10 tahun.

Dalam operasi mulai jam 11 malam hingga 4 pagi itu, polis turut menyita lima motosikal dan sebuah kereta yang didapati memiliki kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan.

BACA JUGA :

Brand Rizman Ruzaini sebaris jenama fesyen antarabangsa!! Ikuti kisah menarik kejayaan Rizman Ruzaini…

Kulit Sihat dan Cantik saranan KKM

6 Tip tangkap gambar “Bergaya” untuk Feed IG untuk Iphone User.. Meh Usyaaa!!