Ubur-ubur beracun ditemui di Pantai Seberang Takir

Ubur-ubur beracun ditemui di Pantai Seberang Takir.

Penemuan ubur-ubur berbahaya jenis Portuguese Man o’War di Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus merupakan kes pertama direkodkan di pantai tersebut pada tahun ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, kehadiran ubur-ubur itu disedari selepas ada pengunjung memuat naik penemuan itu dalam media sosial.

Berikutan itu menurutnya, beberapa anggota APM telah membuat pemantauan di Pantai Seberang Takir dan berjaya menemui haiwan marin tersebut atau nama saintifiknya ‘physalia physalis’ terdampar di pesisir pantai.

“Jadi kita berharap orang ramai lebih berhati-hati ketika berkunjung dan beriadah di Pantai Seberang Takir, jangan sentuh atau pegang jika terjumpa ubur-ubur kecil berwarna biru ini kerana ia berbahaya.

“Bisa ubur-ubur ini boleh melumpuhkan mangsa melalui sengatannya selain turut menyebabkan melecur pada kulit dan lebih serius, ia boleh membawa maut jika tidak dirawat segera,” katanya di sini pada Selasa.

Pada Isnin, tular dalam Facebook tentang penemuan ubur-ubur dipercayai jenis Portuguese Man o’War di Pantai Seberang Takir oleh orang awam yang berkunjung ke sana.

Mengulas lanjut Mohd Rosman berkata, penemuan ubur-ubur Portuguese Man o’War boleh dikatakan direkodkan hampir setiap tahun di pantai negeri ini sejak beberapa lalu.

Katanya, sebanyak 12 kes ubur-ubur jenis sama dicatatkan pada tahun 2020.

“Namun orang ramai tidak perlu risau kerana kita sentiasa memantau perkara ini termasuk di pantai-pantai lain juga selain memberi nasihat kepada pengunjung pantai.

“Kita harap buat laporan jika ada terjumpa ubur-ubur berbisa ini bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil,” katanya.

BACA JUGA :

3,612 mangsa banjir Johor, 5 daerah terjejas

‘Berdampingan’ dengan bomoh selama 2 jam

PM ke-41 New Zealand: Chris Hipkins

COMMENTS

Wordpress (2)
  • […] Ubur-ubur beracun ditemui di Pantai Seberang Takir […]

  • […] Ubur-ubur beracun ditemui di Pantai Seberang Takir […]