Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) akan meningkatkan kawalan keselamatan selepas insiden penyokong ceroboh masuk padang untuk bergambar dengan bintang Portugal, Cristiano Ronaldo ketika perlawanan Euro 2024.
Ronaldo sentiasa menjadi tumpuan utama di Euro 2024 dengan ribuan peminat sanggup meluangkan masa menghadiri sesi latihan pasukannya dengan harapan dapat melihat kelibat idola mereka.
Enam individu menceroboh padang menuju ke arah Ronaldo sehingga pemain tersebut berang ketika Portugal mengatasi Turkiye 3-0 dalam aksi Euro 2024.
Pemain berusia 39 tahun itu sempat berswafoto dengan seorang peminat cilik yang memasuki padang pada separuh masa kedua, namun kurang senang apabila tiga lagi penyokong mendekatinya sebelum wisel penamat.
“Keselamatan di stadium, di padang dan di kemudahan pasukan adalah keutamaan utama untuk UEFA.
“Untuk tujuan ini, langkah-langkah keselamatan tambahan akan digunakan di stadium untuk memenuhi keperluan kejohanan, dan mengelakkan kejadian seperti itu berulang,” kata kenyataan badan induk bola sepak Eropah itu.
Insiden itu menyebabkan pengurus Portugal, Roberto Martinez menyatakan ‘kebimbangan’ terhadap keselamatan pemain.
Little kid getting a selfie with Ronaldo then turning on the after-burners ♂️➡️ pic.twitter.com/TPyLW02jjE
— Football Fights (@footbalIfights) June 22, 2024
Dia berkata: “Mungkin niat peminat adalah baik. Namun, akan ada saat sukar jika niatnya salah dan pemain terdedah kepada bahaya.
“Saya tidak fikir ia sepatutnya berlaku. Mungkin ada mesej kepada peminat bahawa ini bukan cara yang betul. Tidak bagus pemain terlalu terdedah di atas padang.”
Sebelum ini, Ronaldo dipeluk oleh seorang peminat ketika sesi latihan pertama pasukan minggu lalu sebelum beberapa yang lain menyerbu masuk ke tengah padang.
Paling menarik perhatian ialah tindakannya yang sanggup ‘meredah pokok taman’ semata-mata untuk melayan peminat yang mahu bergambar dengannya sebelum perlawanan pembukaan menentang Republik Czech beberapa hari lepas.