Umno tak bincang hal Anwar dalam mesyuarat biro politik

Umno tak bincang hal Anwar dalam mesyuarat biro politik

Umno belum berbincang mengenai pendirian parti itu terhadap dakwaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan Ahli Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baru.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu juga tiada dalam agenda perbincangan Mesyuarat Biro Politik Umno yang dijadualkan malam tadi.

Bagaimanapun beliau berkata sebarang keputusan mengenai perkara itu nanti adalah berdasarkan perbincangan parti dan bukan keputusan peribadi beliau.

“Keputusan (mengenai Anwar) dibuat Umno adalah berdasarkan kepada proses membuat keputusan… ia secara asasnya bukan keputusan saya seorang.

Jika ia keputusan parti, maka saya perlu menghormati keputusan parti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perbicaraan kes yang dihadapinya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengenai dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson itu berhubung Al-Sultan Abdullah akan memanggil ketua-ketua parti, Ahmad Zahid berkata setakat ini beliau belum menerima surat jemputan rasmi daripada pihak Istana Negara.

Ditanya tentang kehadiran Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah di Istana Negara hari ini, Ahmad Zahid, mengakui tidak dimaklumkan berhubung berkara itu.

“Beliau (Tengku Razaleigh) tidak memaklumkan kepada saya … saya pun dapat tahu daripada media,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/546437

COMMENTS