Kuala Lumpur: “Saya terharu, terima kasih banyak-banyak kepada yang mengundi. Saya tak pernah rasa benda ini,” kata pelakon dan pelawak, Bell Ngasri, 42, yang namanya disebut-sebut bakal memenangi anugerah Artis Komedi Popular pada acara Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), Jumaat ini.
Bell atau nama sebenarnya, Nasrizal@Ngasrizal Ngasri dihubungi berkata, dengan sambutan baik dan luar biasa yang diterima itu membuatkannya sedar sudah lama berada dalam industri hiburan.
“Jadi, menerusi sambutan yang datang ini membuatkan saya tahu sudah lama di sini (dalam industri). Bukanlah sokongan itu datangnya daripada peminat saja, tetapi sebenarnya semua rakyat Malaysia.
“Rakyat Malaysia, insya-Allah sayang saya. Jadi, saya pun sayangkan mereka,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya mengenai sokongan hebat diterimanya itu, Bell berkata, dia pun tidak menyangka betapa banyak sokongan diterima daripada orang luar, termasuk juga penggiat seni dalam industri.
“Selain sokongan daripada orang luar (peminat), saya pun dapat sokongan padu daripada mereka yang sama bidang kerja dengan saya iaitu geng pelawak dan rakan-rakan selebriti yang lain.
“Terus-terang, saya memang tak sangka. Sebabnya, semua ini satu pengalaman baru buat saya. Nak cakap lebih-lebih pun, saya tak tahu sangat,” katanya akan hadir pada malam anugerah itu yang berlangsung di Istana Budaya (IB).
Terdahulu, Bell amat popular dengan watak Barkoba yang juga geng plastik hitam di dalam telefilem 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa arahan Allahyarham Mamat Khalid.
Bell yang aktif berlakon sejak 37 tahun lalu, bagaimanapun baru kali pertama tercalon dalam acara anugerah dan berjaya melayakkan diri berada dalam senarai lima terbaik bagi kategori Artis Komedi Popular ABPBH.
Dalam kategori Artis Komedi Popular itu, Bell berentap dengan empat lagi calon hebat lain iaitu Zizan Razak, Johan, Jaa Suzuran dan Syahmi Sazli.
Tidak hanya itu, nama Bell juga turut tersenarai menjadi antara 10 selebriti popular yang meraih undian tertinggi ABPBH kali ini selain Aina Abdul, Amir Masdi, Anna Jobling, Meerqen dan Siti Nordiana.
Sumber: HarianMetro