Keputusan diambil oleh Manchester United untuk tidak mengaktifkan klausa setahun lanjutan dalam kontrak Raphaël Varane, menurut sumber kepada ESPN semalam.
Dengan keputusan ini, pemain pertahanan itu kini berpeluang untuk berunding dengan mana-mana kelab di luar Liga Perdana Inggeris (EPL) dan berpotensi meninggalkan Old Trafford dengan perpindahan percuma pada musim panas.
Walaupun Varane masih dianggap sebagai pemain utama oleh pengurus Erik ten Hag, United enggan melanjutkan kontrak setahun bagi pemain berusia 30 tahun itu yang bergaji lebih dari £300,000 (RM1.75 juta) seminggu sehingga Jun 2025.
Kontrak Varane kini dijadualkan berakhir pada Jun 2024, dan langkah serupa diambil terhadap penjaga gol David De Gea pada musim panas lalu, yang juga meninggalkan kelab dengan perpindahan percuma.
Varane dan De Gea merupakan antara pemain United dengan gaji tertinggi, bersama dengan Casemiro dan Jadon Sancho.
Marcus Rashford juga menyertai mereka setelah menandatangani kontrak jangka panjang pada Julai dengan gaji £315,000 (RM1.84 juta) seminggu.
United dijangka untuk melanjutkan kontrak setahun Victor Lindelöf dan Aaron Wan-Bissaka, memastikan mereka kekal di Old Trafford sehingga 2025, sementara kontrak mereka berdua sebenarnya tamat pada musim panas depan.
Anthony Martial juga mempunyai kontrak sehingga musim panas, tetapi United enggan melanjutkannya sehingga 2025.
Pemain berusia 28 tahun itu telah menjaringkan dua gol dalam 19 perlawanan musim ini, tetapi terus tersisih daripada skuad utama sejak tiga minggu lalu.
United akan kembali beraksi menentang Wigan Athletic di Stadium DW dalam aksi pusingan ketiga Piala FA pada 8 Januari.
Baca Juga : Ini senarai 7 filem yang musnahkan rumahtangga pelakon popular