Untunglah siapa baik dengan dia, pewaris nak agih RM 127 juta pada orang ramai

Kelembutan hati Marlene Engelhorn, pewaris syarikat farmaseutikal Austria-Jerman, muncul apabila beliau mengutarakan hasrat untuk memperuntukkan harta yang diterimanya daripada neneknya kepada orang ramai.

Engelhorn, 31, kini menginginkan 50 warga Austria untuk berperanan menentukan cara pembahagian harta yang bernilai 25 juta euro (sekitar RM127.4 juta) yang diwarisinya.

“Saya telah menerima warisan kekayaan dan kuasa tanpa perlu melakukan sebarang usaha khusus untuk itu. Negara tidak mengenakan cukai harta pusaka ke atasnya,” katanya.

Untunglah siapa baik dengan dia, pewaris nak agih RM 127 juta pada orang ramai

Austria telah memansuhkan cukai harta pusaka pada tahun 2008, menjadikannya antara negara Eropah yang tidak mengamalkan cukai ini. Walau bagaimanapun, Engelhorn berpendapat bahawa situasi ini tidak adil.

Engelhorn merupakan pewaris kepada Friedrich Engelhorn, pengasas syarikat kimia dan farmaseutikal Jerman, BASF.

Kekayaan ini diwarisinya selepas kematian neneknya, Traudl Engelhorn-Vechiatto, pada September 2022. Forbes menganggarkan kekayaan Traudl Engelhorn-Vechiatto sebanyak AS$4.2 bilion (kira-kira RM19.5 bilion).

Sebelum neneknya meninggal, Engelhorn telah menyatakan hasratnya untuk mengagihkan kira-kira 90 peratus daripada harta yang diterimanya.

Pada Rabu lalu, 10,000 surat secara rawak dihantar kepada warga Austria, mengajak mereka untuk terlibat dalam platform pemikiran mengenai pembahagian harta ini.

Mereka yang berminat untuk menyertai inisiatif yang dikenali sebagai Good Council for Redistribution boleh mendaftar secara atas talian atau menerusi telefon.

Daripada 10,000 warga Austria yang telah dijemput, 50 orang akan dipilih untuk memainkan peranan penting dalam menentukan pembahagian harta tersebut.

Engelhorn memberikan kenyataan yang menyatakan, “Jika ahli politik tidak melaksanakan tanggungjawab mereka dalam pembahagian harta, maka saya perlu melibatkan diri sendiri dalam proses ini.

Banyak orang berjuang untuk memenuhi keperluan hidup dengan bekerja sepenuh masa dan membayar cukai atas setiap euro yang mereka peroleh. Saya melihat ini sebagai kegagalan politik, dan jika politik tidak berjaya, maka rakyat perlu mengambil alih tanggungjawabnya sendiri.”

Baca Juga : ‘Gandingan Sultan Johor-Anwar mampu beri impak positif pelaburan negara’ kata pakar