UMAT Islam yang dijemput sebagai tetamu Allah ke Tanah Suci Makkah pasti akan dibawa mengikuti aktiviti ziarah.
Antara lokasi ziarah yang menjadi tumpuan ialah Jabal Rahmah iaitu sebuah bukit yang dikaitkan dengan pertemuan Nabi Adam dan Hawa ketika diturunkan ke bumi sejak berpisah ratusan tahun.
Dek kerana peristiwa itu, Jabal Rahmah sering dikaitkan sebagai lokasi mustajab berdoa agar ditemukan jodoh atau dieratkan pertalian bersama yang tersayang.
Bagaimanapun, menerusi perkongsian Mutawif Ashraf di laman TikTok, didedahkan amalan segelintir jemaah ketika di Jabal Rahmah yang terpesong daripada landasan agama.
Ayuh kita ikuti dan fahami kupasan mengenainya.
Tugu yang dibina di atas puncak Jabal Rahmah.
1) Arah berdoa
Menurut Ashraf, tiada sebarang masalah untuk jemaah naik ke atas Jabal Rahmah bagi berdoa.
Tetapi yang menjadi kesalahan apabila jemaah berdoa sambil menghadap sebuah tugu di atas Jabal Rahmah, sedangkan kiblat kita sepatutnya menghadap ke arah Kaabah di Makkah.
Sebagai makluman, di atas bukit berkenaan didirikan satu tugu batu setinggi lapan meter dan selebar 1.8 meter bagi mengingati peristiwa kasih sayang itu.
Tulisan nama pada batu di Jabal Rahmah.
2) Menulis nama pada batu
Seolah-olah berada di kota cinta iaitu Paris, Perancis.
Ashraf seterusnya menegur amalan sesetengah jemaah yang mencoret nama pasangan pada batu-batu di Jabal Rahmah.
“Dah macam papan putih dekat sekolah jadinya, ditulis nama-nama kekasih yang belum berkahwin lagi. Yang boyfriend pergi letak nama girlfriend, yang girlfriend pergi letak nama boyfriend.
“Seolah-olah nak minta dengan Allah agar dipertemukan mereka ini sebagai jodoh. Malah yang dah berkahwin pun ada tulis nama suami atau isteri, agar rumah tangga mereka berkekalan.
“Tidak cukup setakat itu, ada juga yang meninggalkan gambar pasangan di Jabal Rahmah ini. Gambar pasangan itu pula auratnya terdedah.
“Niatnya sudah betul tetapi bukan dengan tulis nama pada batu-batu itu. Perkara seperti ini boleh dikira sebagai perbuatan syirik yang menyekutukan Allah, satu dosa besar yang tidak akan diampunkan,” jelas Ashraf.
Menjejakkan kaki ke Tanah Suci sepatutnya membawa seribu satu keberkatan dalam kehidupan, janganlah diundang pula kemurkaan Allah SWT.
Baca juga: Tag ditukar di airport, pasangan suami isteri kini derita di penjara sebab miliki 43KG dadah