Ustaz perjelas hukum sebenar sujud atas kain telekung, wajib ambil tahu. Bagi kebanyakan Muslimah di negara kita, rata-ratanya lebih selesa bertelekung apabila menunaikan solat.
Jarang sekali untuk melihat kaum Hawa ini menggunakan pakaian lain untuk menutup aurat ketika menunaikan kewajipan yang satu itu.
Tidak kiralah apa sahaja pakaian solat yang digunakan, pastikan ia bersih dan suci. Paling penting, aurat kita terpelihara ketika menyempurnakan Rukun Islam ke-2 mahupun solat sunat yang lain.
Selain itu, ada satu lagi perkara yang tidak boleh dipandang enteng. Rukun solat wajib kita jaga dengan sebaiknya. Apa tidaknya, ia menjadi penentu kesahan solat kita.
Lebih-lebih lagi Muslimah yang bertelekung. Risau jika kita tersujud atas kain telekung sendiri. Ada yang kata tidak sah sujud tersebut jika itulah yang berlaku. Betul ke begitu?
Dalam hal ini, semua sedia maklum bahawa sujud merupakan salah satu daripada rukun solat.
Antara syarat sah sujud adalah wajib mendedahkan sekurang-kurangnya sebahagian dahi agar menyentuh di tempat sujud berkenaan.
Andai kata kita sujud di atas sesuatu yang menghalang dahi dengan tempat sujud, maka solatnya tidak sah. Ia termasuklah jika penghalang itu bersambung dengannya atau atas tanggungannya seperti hujung pakaian yang mana ia turut sama ‘bergerak’ ketika kita berdiri dan duduk.
Perkara itu ada dijelaskan oleh Imam Ibnu Hajar dalam karangan beliau, al-Minhaj al-Qawin: “Syaratnya (sujud) tidak sujud atas sesuatu yang ditanggung olehnya atau yang bersambung dengannya yang mana ia bergerak dengan gerakannya ketika berdiri dan duduk.
Jika seseorang itu sujud di atasnya secara sengaja dan tahu (tidak jahil), maka batal solatnya. Jika tidak (sengaja atau jahil), maka wajib dia mengulangi sujud.”
Namun begitu, seandainya sujud di atas sesuatu yang tidak bergerak dengan pergerakannya atau sesuatu yang bukan tanggungannya, tetapi bergerak dengan gerakannya, maka sujud tetap sah.
Mudah kata, ada situasi tertentu yang tidak membatalkan sujud berkenaan.
Sebagai contoh, seorang wanita sujud di atas hujung kainnya yang sangat labuh dan besar. Pergerakan dirinya langsung tidak memberi kesan pada hujung kainnya.
Satu lagi contoh situasi adalah jika seseorang memegang tasbih ketika solat. Ketika hendak sujud, tasbih itu berada di tempat sujud. Jadi sujudnya tetap sah.
Bagi wanita yang menunaikan solat berjemaah, mereka yang sujud di atas kain telekung rakannya di sebelah, ia tetap dikira sah. Ini kerana dia bersujud di atas sesuatu yang tidak bergerak dengan gerakannya dan bukan di atas tanggungannya.
Justeru, berhati-hatilah ketika solat. Jangan sampai tertinggal rukun. Barangkali sebab itulah kita tidak digalakkan solat cepat macam ribut.
(Artikel berkaitan: Solat cepat sangat macam ‘ribut’, hati-hatilah sebab takut tak sah, kena ulang balik)
Takut-takut ada rukun solat yang tidak sempurna. Akhirnya solat boleh jadi tidak sah dan perlu diulang semula.
Sama-samalah kita perbaiki solat masing-masing. Semoga ALLAH SWT menerima ibadah kita.
BACA:
Khairul Aming mangamuk dengan netizen di twitter, ini yang jadi..
Syafiq Kyle geram dengan netizen, “kami bukan budak umur 12 tahun..”
Bomba ‘legend’ ini kongsi tangkap ular senduk paling besar, nasib tak patuk