VE berbalah nama kumpulan baharu akan diumumkan

VE berbalah nama kumpulan baharu akan diumumkan. Undur diri daripada VE, itu keputusan dibuat demi tidak menjadi ‘racun’ yang boleh memburukkan nama kumpulan vokal berharmoni popular yang ditubuhkan pada 1997 itu.

Meskipun perjuangan terhenti bersama VE namun, empat bekas anggotanya, Cham, Adeep Nahar, Hakim dan Fakhiz tidak pernah berputus asa meneruskan kerjaya nyanyian.

Malah, bakal tampil dengan nama kumpulan baharu dan merancang menghasilkan dua single, tidak lama lagi.

#image_title

Bekas anggota VE paling senior, Cham berkata, mereka enggan lagi menoleh ke arah konflik yang berlaku selama lebih dua bulan sepanjang berada dalam program realiti, Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9).

“Kami tetap akan terus melangkah ke hadapan, insya-Allah. Kami ada banyak perancangan yang pada asalnya mahu diteruskan bersama VE.

“Namun, kami tidak mahu mengambil hak orang, jadi biarlah kami mengalah. Kami merancang mahu mengadakan siri jelajah dan menghasilkan dua single dengan menggunakan nama lain.

“Nama kumpulan baharu akan diumumkan, tidak lama lagi,” kata Cham kepada BH Online.

Kelmarin, Adeep, Cham, Hakim dan Fakhiz mengumumkan mengundurkan diri daripada kumpulan VE menerusi sidang media tergempar di sebuah premis acara di Petaling Jaya, Selangor.

#image_title

Meskipun keputusan itu sukar dibuat, namun mereka nekad meninggalkan VE kerana enggan memanjangkan isu yang boleh memburukkan nama VE, susulan anggota asal VE, Zaf menyuarakan pandangan agar menggunakan nama lain sekiranya mahu terus aktif selepas program realiti, GV9 melabuhkan tirai.

Zaf memberi alasan Cham, Adeep, Hakim dan Fakhiz bukanlah anggota asal VE.

Sebaliknya, dakwa Zaf, VE diasaskannya bersama Shah dan Lah. Malah, Cham hanya menyertai VE pada 2000, disusuli Damian Mikhail pada 2003.

Mengimbas pembabitan Hakim dan Adeep pada 2018, Cham atau nama sebenarnya, Charma Adizalilullah Abdul Khalil berkata, mereka menyertai VE atas persetujuan anggota asal yang lain.

Malah, katanya, keputusan menyertai GV9 dan kemasukan Fakhiz sebelum program realiti itu turut diputuskan oleh Zaf.

“Sebenarnya, kami ditawarkan menyertai GV4 lagi, tetapi saya tak mahu. Memang pendirian saya tidak mahu menyertai apa-apa pertandingan.

“Selama 43 tahun, GV9 adalah pertandingan pertama saya. Namun, selepas Zaf memujuk dan bila fikir masak-masak, kalau masuk setiap minggu akan mendapat bayaran.

“Jadi, saya bersetuju, tetapi pada saat akhir, Zaf menyatakan hasrat menarik diri. Zaf ini seorang ‘alpha’.

“Sejak dahulu, apa yang dia cakap, kami kena ikut. Jadi, kami memang ikut cakap Zaf kerana rasa dia bijak, tetapi sekarang, saya rasa bodoh pula ikut cakapnya,” katanya.

Cham mendakwa, perbalahan bermula apabila mereka tidak dapat menjayakan latihan dimahukan Zaf.

“Zaf mahu kami mengadakan latihan. Kami belum masuk GV9, nak buat latihan bagaimana? Zaf rasa kami belum bersedia, sedangkan kami sudah merakamkan lagu Tunggu dan pernah memenangi anugerah Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Berkumpulan), Anugerah Industri Muzik Ke-23 (AIM23).

“Dia juga tidak boleh membandingkan VE dahulu dengan sekarang. VE sekarang semuanya mempunyai komitmen dan berkeluarga.

“Jadi, apabila ajakan tidak berhasil, Zaf menghilangkan diri selama dua minggu. Sehari sebelum sesi fotografi bersama GV9, Zaf mesej mohon maaf kerana tidak boleh menyertai GV9.

“Dia harap kami juga tidak menyertai GV9, sedangkan kontrak sudah ditandatangani. Dari situlah bermula perbalahan,” katanya.

Cham mendakwa, dia juga menyampah kerana kena dengar cakap Zaf sejak dahulu.

“Zaf anggap dirinya ketua kumpulan, tetapi sebagai ketua, tidak bolehlah buat keputusan sendiri. Zaf kena bincang dengan anggota,” katanya.

Dakwa Cham lagi, selain menyarankan menukar pihak pengurusan, Zaf turut menelefon Astro dan memohon menukar nama penerima bayaran konsert mingguan kepada namanya.

“Bila tak boleh menyertai GV9, Zaf sendiri menyerahkan tugas kepada saya untuk menjaga VE. Lepas saya kendalikan, Zaf mula bising.

“Dan bila Zaf sudah tidak terbabit, kami memang mewujudkan kumpulan WhatsApp baharu.

“Di situ, Zaf rasa terpinggir dan menyuarakan kami tukar pengurusan. Buat apa mahu tukar pengurusan, sedangkan kami selesa dengan pengurusan sekarang?

“Malah, Zaf juga menghubungi Astro untuk tukar nama penerima bayaran kepada namanya. Kenapa tiba-tiba bayaran mingguan kena masuk akaunnya pula?,” katanya.

Terdahulu, VE menduduki tempat kelima dan membawa pulang trofi dan wang tunai bernilai RM15,000 dalam program GV9.

Adeep berkata, keputusan meninggalkan VE dibuat kerana enggan terus menjadi ‘racun’ yang merosakkan kumpulan itu.

“Bukan senang nak buat keputusan kerana kasih sayang kami kepada VE sangat tinggi.

“Dan bukan juga tugasan mudah membawa nama VE, walaupun dihamun dan dimaki.

“Kami terima sebab hormat kepada salah seorang anggota kumpulan VE, Cham yang ada bersama kami.

“Namun, kami enggan menjadi racun dalam kumpulan ini. Apa yang terjadi membebankan dan memburukkan saya sebagai anggota VE baharu. Jadi, benda ini tidak seronok,” katanya.

Adeep turut meluahkan rasa kesal dan memilih memutuskan persahabatan dengan anggota VE yang membangkitkan penggunaan nama kumpulan itu.

“Saya anggap dia sahabat, daripada saya jatuh sampai saya naik semula. Apa kesalahan kami sehingga diperlakukan seperti ini?

“Kami cuba menaikkan nama VE dan segala-galanya bukan mudah. Cemuhan orang kami boleh terima, tetapi cemuhan anggota asal VE sukar diterima.

“Nampak kami gembira, tetapi orang luar tak tahu apa yang kami lalui. Kami berhempas pulas selama 11 minggu dalam GV9, kami tinggalkan keluarga dan anak, tetapi cacian pula diterima.

“Jika salah, kami tanggung, tetapi jika betul, Alhamdulillah. Tak mengapa, terima kasih beri peluang kami bersama VE.

“Namun, kita bersahabat sampai di sini sahaja, terima kasih,” katanya.

BACA JUGA:

Netizen tercuit hati melihat telatah Han Byul setelah mengenali identiti Siti Shower

Sebulan, belajar 5 resepi dessert senang buat, cukup masa nanti boleh buat 25 dessert jamuan Raya!

Pemuda kongsi 18 tips mudah untuk persiapan ke umrah, jom baca