Wajah Baharu Pasar Payang Terengganu Akhir Tahun Ini

KUALA TERENGGANU – Kompleks baharu Pasar Besar Kedai Payang yang dibina sejak lima tahun lalu akan mula beroperasi akhir tahun ini.

Pasar Kedai Payang yang mula beroperasi pada 31 Ogos 1968 telah dirasmikan oleh Sultan Terengganu ke-16 iaitu Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Pasar berkenaan menjadi tarikan utama pelancong bagi membeli produk warisan Terengganu antaranya batik, songket, makanan tradisional, tembaga dan kraf tangan.

Pembinaan pasar baharu bermula pada 2018 selepas kerajaan melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan meluluskan pembinaan semula bangunan yang sangat daif untuk keselesaan dan keselamatan pengunjung.

Kompleks asal Pasar Besar Kedai Payang yang dibuka pada 1968 sebagai pusat sehenti produk makanan dan kraftangan Terengganu dirobohkan untuk pembangunan semula pada 2018.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Rosli Latif berkata, dalam tempoh terdekat ini kontraktor kompleks berkenaan akan menyerahkan bangunan baharu itu kepada Kementerian Pembangunan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 19 Julai 2023.

Menara jam yang mempunyai nilai tarikan pelancong di Pasar Besar Kedai Payang. Gambar: Utusan Malaysia

Pembinaan pusat perniagaan tradisional yang popular dalam kalangan pelancong itu telah dimulakan sejak lima tahun lalu dengan kos sebanyak RM69.3 juta.

Peniaga-peniaga akan berpindah masuk ke bangunan baharu itu dan operasi perniagaan boleh bermula seperti biasa setelah selesai beberapa proses-proses akhir.