Kumpulan KRU dan pelakon dari syarikat produksi yang sedang menjalani penggambaran filem seram sering menghadapi pelbagai kejadian aneh dan mistik di lokasi penggambaran.
Pengalaman ini turut dirasai semasa penggambaran telefilem “Rumah Pontianak” yang dihasilkan oleh Quiara One Production, dan tempat penggambaran merangkumi Pulau Carey, Hulu Langat, dan Ulu Yam, Selangor pada penghujung bulan September yang lalu.
Telefilem arahan Asri Tajudin atau Asri Baq’u ini menampilkan barisan pelakon ternama seperti Datuk Syafinaz Selamat, Nasha Aziz, Rushdi Ramli, Azri Iskandar, Jaa Suzuran, dan banyak lagi.
Menurut Asri, mereka menghadapi cabaran yang besar kerana sebahagian besar penggambaran dilakukan pada waktu malam dengan menggunakan lokasi yang mencakupi rumah kolonial dan hutan.
“Tempat-tempat itu memang mencabar dan memiliki unsur-unsur mistik. Ditambah lagi dengan cuaca yang tidak menentu, ia benar-benar menguji kami.
Sebahagian penggambaran di hutan terpaksa dibatalkan kerana hujan lebat menyebabkan berlaku kepala air.
“Kejadian mistik juga berlaku di rumah tempat penggambaran, di mana beberapa kru mengalami gangguan dan melihat entiti ghaib.
Kami telah menyediakan seorang ustaz untuk menangani sebarang kemungkinan.
“Situasi ini sesuai dengan genre seram filem ini. Di lokasi Hulu Langat, kami menggunakan rumah kosong di tengah hutan. Kadang-kadang, terdengar bunyi itik walaupun tidak ada rumah lain di sekeliling. Selain itu, berlaku angin kencang secara tiba-tiba,” ujar Asri di Hatter’s Castle, Pulau Carey.
Beliau menambahkan bahawa pemilihan lokasi itu berdasarkan pertimbangan visual yang menarik dan juga kriteria-kriteria seram yang diinginkan.
Asri juga berkongsi mengenai cabaran membentuk watak utama, terutamanya Datuk Syafinaz yang menghadapi cabaran berbeza kerana ini adalah pengalaman pertamanya berlakon dalam skala besar.
“Nasha sudah berpengalaman, mudah bekerjasama, dan memahami bahasa filem. Walaupun filem ini berunsur seram, elemen kasih sayang tetap diterapkan dalam cerita,” jelasnya.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif telefilem ini, Siti Norhayza Mohd Ali, menekankan bahawa pemilihan pelakon memainkan peranan penting dalam membawa cerita ini ke arah yang diinginkan.
“Pemilihan pelakon untuk cerita ini adalah penting. Menjiwai watak bukanlah perkara yang mudah. Oleh itu, kami memilih pelakon yang terbaik.
“Kami bersyukur kerana Datuk Syafinaz bersetuju. Kami merancang jadual penggambarannya dengan sebaik mungkin. Alhamdulillah, Syafinaz dapat menjiwai watak dengan baik. Dia juga mempunyai pengalaman berlakon dalam teater.
“Kami turut gembira mendapatkan Nasha sebagai sebahagian daripada filem ini. Walaupun jadualnya padat, dia memberikan kerjasama yang baik,” katanya.
Siti Norhayza menambahkan bahawa telefilem ini akan dihantar ke Astro First untuk disiarkan secepat mungkin.
Baca Juga : Artis pelik dah lama kahwin tapi masih tidur asing