Seorang wanita dari wilayah Heilongjiang di China mengalami kesukaran mencari teman hidup susulan ketinggiannya yang mencapai 2.26 meter tinggi, lapor Oddity Central.
Xiao Mai, 25, mula mencuri perhatian penduduk dan media di negaranya pada bulan April, apabila video yang memaparkan ketinggiannya menjadi tular.
Difahamkan, Mai telah memuat naik satu video pendek mengenai dirinya ekoran idea daripada ibunya.
Selain itu, Mai turut memuat naik video kehidupan hariannya di samping ibunya berharap orang ramai yang menonton video anaknya mencadangkan atau mencarikan teman lelaki yang sesuai untuk Mai.
Tidak lama kemudian, video tersebut menjadi viral hingga orang yang tidak dikenali mula datang ke rumahnya hanya untuk bertemu dengan gadis tinggi itu.
Lebih mengejutkan, sebahagiannya berkunjung semata-mata untuk bergambar bersamanya selain ingin melamar Mai sebagai teman wanita.
Meskipun orang ramai mula membanjiri rumahnya, keluarga itu tidak pernah menolak mereka.
“Pada mulanya, saya keliru apabila orang yang tidak dikenali datang ke rumah saya.
“Tetapi secara beransur-ansur saya mendapati bahawa mereka sangat bersemangat dalam membantu saya mencari lelaki yang baik,” kata Mai sambil menambah orang ramai cuba memberikan keyakinan tentang ketinggiannya.
Seawal umur 13 tahun, ketinggian Mai sudah mencapai kepada 1.80 meter (6 kaki), jauh lebih tinggi daripada kebanyakan kanak-kanak seusianya.
Disebabkan ketinggiannya, kelab bola keranjang profesional China menawarkannya untuk menyertai kelab tersebut namun dia menolak menyertai mana-mana pasukan kerana ingin menumpukan perhatian kepada pelajarannya.
Setiap tahun ketinggian Mai meningkat sekitar 10 sentimeter (cm) sehingga dia berdepan pelbagai masalah sehingga dia mula kurang yakin berkomunikasi dengan orang.
Sementara itu, ibunya berkata selain membantunya mencari teman lelaki dan bakal suami, sebab utama dia menggalakkan anak perempuannya mempromosikan dirinya dalam talian adalah untuk meningkatkan keyakinannya.
Sejak menjadi topik utama berita, Mai kini tidak lagi gugup untuk berinteraksi dengan orang yang tidak dikenali dan tampil yakin di khalayak ramai mahupun di media sosial.
Sumber: Oddity Central
BACA JUGA: Ini alasan Neelofa dan Haris tak nak tunjuk kedua-dua anak