Warga Shah Alam menangis Kompleks PKNS nak kena roboh, ganti dengan kondo mewah

Jika sebut Shah Alam, ada beberapa lokasi yang menjadi nostalgik di kalangan penduduknya iaitu Kompleks PKNS, Shah Alam Convention Center (SACC) dan juga SACC Mall.

Malah, lokasi-lokasi ini telah menjadi daya tarikan di lokasi Shah Alam buat orang luar yang datang ke situ seperti membeli baju raya dan menghadiri pesta buku.

Bagaimanapun, bangunan yang berdiri megah ini tidak akan lagi berada di kawasan tersebut selepas tular dakwaan yang ia bakal dirobohkan atas sebab pembangunan perbandaran baharu.

Seorang pengguna X telah memuat naik ciapan yang mendedahkan Kompleks PKNS, SACC dan SACC Mall akan dirobohkan tidak lama lagi.

Bersama gambar tangkap layar yang dikongsi, difahamkan kawasan terbabit akan dibangunkan semula dengan beberapa strategik pembangunan yang dirancang oleh pihak PKNS sendiri.

Susulan perancangan perobohan tersebut, pihak terbabit mahu membuat pembincangan bersama wakil penduduk Shah Alam.

Individu ini juga mendakwa bahawa bangunan yang dirobohkan ini bakal diganti dengan pembinaan kondominium. Malah, dilaporkan sejak tahun lalu lagi bahawa Shah Alam bakal bertukar wajah baharu dengan suntikan dana sebanyak RM2 bilion.

Hantaran itu ternyata telah meraih perhatian di platform X dan rata-ratanya netizen sangat bersedih dengan berita pelan meroboh beberapa bangunan ikonik di Shah Alam itu. Ramai turut berkongsi pengalaman suka duka bersama lokasi yang disenaraikan.

“Ala sedihnya tempat aku selalu cari barang dekat situ weyhh,” kongsi seorang netizen.

“Alah!! Jangan!! Walaupun nampak buruk tetapi kami yang membesar dekat Shah Alam sangat mengenali tempat ini yang mana penuh nostalgia,” luah seorang netizen yang membesar di situ.

“PKNS itu tempat bazar Ramadan dan membeli belah raya paling best di kawasan Shah Alam,” ujar seorang netizen lagi.

“Membesar dengan PKNS, SACC Mall. Jadi tempat kerja lepas SPM. Banyak kenangan, gembira duka memalukan semua ada. Lebih baik jaga daripada kena roboh,” tulis seorang netizen lain.

Ramai merasakan bangunan-bangunan mercu tanda itu sepatutnya dipelihara kerana menjadi lambang kebanggaan warga Shah Alam di samping menerima pelbagai manfaat daripada kegiatan ekonomi setempat.

Baca juga: Terlalu taksub, obses K-Pop, sanggup belajar Bahasa Inggeris untuk lebih maju