Bekas menteri pelancongan seni dan budaya Mohammadin Ketapi menafikan dia menghina pengorbanan anggota tentera dan polis dalam insiden pencerobohan di Tandou, Lahad Datu, Sabah pada 2013.
“Saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa saya sama sekali tidak menghina anggota keselamatan kita yang bertugas semasa kejadian di Tanduo seperti yang diputarbelitkan oleh pihak lawan khususnya parti dari semenanjung.
“Walau bagaimanapun, saya ingin memohon maaf sekiranya video yang ditularkan dengan niat
jahat tersebut mengguris hati anggota-anggota keselamatan keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dia mendakwa video yang disebarkan itu tidak menggambarkan keseluruhan ucapannya, permainan kotor untuk memburukkan partinya Warisan dan telah diputar belit.
Terdahulu media melaporkan Mohammadin mendakwa pencerobohan Lahad Datu di Sabah pada 2013 sebagai suatu “sandiwara”.
Berdasarkan video yang tular itu, beliau berucap semasa kempen baru-baru ini dengan berkata, situasi itu dikatakan berlaku apabila kononnya Umno akan kalah kepada PKR.
Menurutnya, ketika itu ketegangan telah mencetuskan “perang” dan ramai orang mati disebabkan kejadian berkenaan.
“Sandiwara bohong membunuh orang. Kamu ingat dahulu PRU yang lalu, dia bilang Filipina mau ambil Sabah, jadi ada peperangan, datanglah jet dibomnya kelapa sawit orang, habis semua kelapa sawit orang.
“Habis rumah orang, koyak ditembak, ini kenyataan. Disuruh kereta kebal masuk kampung suruh berperang sama ayam, ayam sama anjing lawan dia berperang, apabila habis pilihan raya tiada pula peperangan itu.
“Tetapi saya ingat, saya wakil rakyat Lahad Datu,” katanya seperti di laporkan Astro Awani.
Dalam insiden itu, seramai 10 wira negara terkorban dalam Op Daulat semasa mempertahankan bumi Sabah daripada pencerobohan pengganas Sulu, termasuk serangan hendap di Tanduo, Lahad Datu dan Simunul, Semporna.
Tragedi itu turut menyaksikan sekurang-kurangnya 68 anggota pengganas Sulu ditembak mati.
Sementara itu Mohammadin mendakwa, ucapannya ketika ceramah di Kampung Wawasan itu adalah untuk menggambarkan kesukaran anggota keselamatan negara.
“Saya ingin menjelaskan disini bahawa kenyataan saya semasa kempen di Kampung Wawasan telah disalah ertikan.
“Saya tidak pernah sama sekali memperkecil apatah lagi menghina anggota keselamatan kita yang telah berjuang bermati-matian untuk menjaga
kedaulatan negara daripada penceroboh.
“Seharusnya video yang ditularkan tersebut dimainkan sepenuhnya dan bukanhanya merujuk kepada soal tersebut semata-mata dan saya mengutuk sekeras-kerasnya permainan kotor pihak tertentu yang jelas mahu menjatuhkan maruah Warisan,” katanya.
Tambah beliau insiden itu berlaku ekoran kegagalan kerajaan BN sebelum memantapkan aset sempadan negara sehingga diceroboh musuh.
Berita penuh: https://www.malaysiakini.com/news/543471