Zahid mula tunjuk kuku besi pinggirkan PH

Parti Amanah Negara (Amanah) Kluang hari ini menyifatkan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai tindakan yang meminggirkan pandangan serta luahan dari rakan sekutunya yaitu Pakatan Harapan (PH).

Menurut Ketua Kawasannya Amanah Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain (gambar) berkata tindakan Ahmad Zahid itu dilihat seperti terburu-buru dalam membuat keputusan sehingga ianya secara langsung menafikan hak rakan-rakan yang lain dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang menulis di ruangan FB milik Parti Amanah Kluang menyatakan sebarang perbincangan belum lagi dilakukan tetapi Ahmad Zahid seperti telah mendahului keputusan tersebut.

“Beliau tidak perlu terburu-buru membuat keputusan sendiri.

“Bincang pun belum macam mana dah ada Keputusan. Kami tegas dengan pendirian kami iaitu bersedia untuk bertanding di DUN Mahkota sehingga keputusan pucuk pimpinan dibuat. Beliau menyatakan kami tuntut kerusi BN, kenyataan itu tidak tepat kerana di Johor belum ada Kerajaan Perpaduan,” tulisnya.

Mohd Zuhan juga menasihatkan agar Timbalan Perdana Menteri 1 itu perlu menasihatkan Menteri Besar Umno di Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi untuk segera meraikan pandangan Kerajaan Perpaduan seperti yang dilakukan di negeri-negeri yang dikuasai oleh PH.

Beliau turut memberi kata dua agar Umno menerima terlebih dahulu konsep Kerajaan Perpaduan di Johor sebelum menamatkan kemelut perebutan PRK di Dun Mahkota.

“Beliau (Ahmad Zahid) seharusnya segera menasihatkan Dato’ Onn Hafiz selaku MB Johor merangkap Pengerusi UMNO Johor agar mengumpulkan pucuk pimpinan PH dan BN untuk berbincang isu ini segera.

“Fokuskan isu Kerajaan Perpaduan di Johor secara Tuntas kemudian kita buat keputusan siapa calon Dun Mahkota,” tulisnya.

Dalam pada masa yang sama, Mohd Zuhan juga turut memberi pesanan kepada pemimpin lain agar meneliti terlebih dahulu isu yang dihadapi di Johor sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Saya juga berpesan agar semua pemimpin yang ingin memberi maklumbalas tentang tuntutan Dun Mahkota ini agar baca dan dengar sepenuhnya apa yang kami sebut.

“Bukan baca dan dengar separuh kemudian respond. Semua pimpinan harus lebih bijak agar PN tidak mengambil kesempatan ke atas isu dalaman kita,” ujarnya lagi.

Baca juga: Akhirnya Denden bersuara, terlondeh habis Search Kid Din