“Zii Jia tak patut kalah… masalah angin hanyalah biasa..” – Datuk Rashid Sidek. Alasan masalah angin diberikan jaguh perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, selepas disingkirkan pemain meningkat naik dari Jepun, Kodai Naraoka, di pusingan pertama Terbuka Malaysia 2022, semalam, disifatkan tidak munasabah.
Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek berpendapat Zii Jia yang juga pemain kedua terbaik dunia, perlu menerima hakikat masalah angin timbul di mana-mana venue kejohanan waima Axiata Arena sekalipun dan sebahagian daripada adat permainan ketika di dalam gelanggang.
“Kalau ikut ranking Zii Jia tak patut kalah, sebagai seorang pemain profesional, alasan masalah angin hanyalah biasa, sebab bukan dia sahaja, malah pemain lain turut sentiasa berhadapan isu sama.
“Beliau perlu tahu bagaimana hendak menangani masalah angin selain menggunakan taktikal serta pelan permainan sesuai dengan keadaan sedemikian,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Zii Jia ditunjukkan jalan keluar selepas tumpas 21-13, 17-21, 19-21 di tangan Naraoka yang juga pemain bukan pilihan bagi kejohanan pembuka tirai Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu, tahun ini.
Sebaliknya, Rashid, yang juga bekas juara Terbuka Malaysia tiga tahun berturut-turut dari edisi 1990-1992 berkata, lebih ‘molek’ sekiranya juara Asia itu menerima hakikat lawannya itu bermain lebih bagus dan berhak menang, malam tadi.
Dalam pada itu, bekas pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1996 itu berpandangan Zii Jia wajar mempunyai jurulatih sekiranya mahu memastikan prestasinya terus meningkat pada masa akan datang.
Pemain berusia 24 tahun itu ketika ditemui pemberita selepas pertembungannya dengan Naraoka mengakui tidak menyesal untuk bergerak tanpa jurulatih di sisi setelah berpisah dengan Indra Wijaya, pada November lalu.
Di sebalik permulaan buruk pada musim 2023, Rashid pada masa sama menaruh harapan agar juara All England 2021 itu segera bangkit dengan kembali merangkul gelaran dalam mana-mana kejohanan, sekali gus tidak menjejaskan kedudukannya dalam ranking BWF.
Sementara itu, seorang lagi bekas juara Terbuka Malaysia, Ong Ewe Hock berkata, Zii Jia perlu meningkatkan kekuatan mentalnya dan tampil dengan strategi lebih baik untuk mengatasi lawannya.
“Saya rasa dia bermain agak baik. Bagaimanapun, ada dua perkara yang perlu dia sesuaikan iaitu kekuatan mental dan strategi permainan menjelang penghujung perlawanan,” katanya.
Juara 1996 dan 2001 itu tidak menolak kemungkinan pemain dari Kedah itu mengalami tekanan untuk bermain di tanah air, yang akhirnya menyebabkan beliau tersingkir daripada pertandingan itu.
Zii Jia pernah mengalami penyingkiran awal pada Terbuka Malaysia sebelum ini.
Selain kekalahan pusingan kedua kepada pemain Indonesia Shesar Hiren Rhustavito tahun lalu, beliau mengalami kekalahan pusingan pertama kepada Suppanyu Avihingsanon dari Thailand pada 2019.
BACA JUGA:
Bom lama ditemui di Yong Peng adalah Bom Perang Dunia Kedua
Tze Yong tewas di tangan Kodai Naraoka, menyebabkan dia tersingkir
Pembahagian kerusi PN untuk PRN akan datang diselesaikan segera