8 Portfolio Menteri Negeri diubah dalam Rombakan Kabinet Sabah

8 Portfolio Menteri Negeri diubah dalam Rombakan Kabinet Sabah. Rombakan Kabinet kerajaan Sabah yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyaksikan perubahan dalam lapan daripada 11 portfolio menteri negeri.

Seperti dijangka, tiga menteri dari UMNO/Barisan Nasional (BN) iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin; ADUN Krambunai, Datuk Yakub Khan dan ADUN Sukau, Datuk Jafry Arifin digugurkan.

Ia berikutan tindakan BN Sabah diketuai Bung Moktar menarik sokongan kepada kerajaan negeri dan Ketua Menteri hingga mencetuskan kemelut politik minggu lalu.

Sebagai ganti, Hajiji menamakan ADUN Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya sebagai Timbalan Ketua Menteri III yang baharu selain turut memegang portfolio Menteri Kerja Raya, jawatan sama dipegang Bung Moktar sebelum ini.

Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan adalah antara lima ADUN UMNO yang tidak mengikut jejak Bung Moktar dan 12 ADUN UMNO yang lain menarik sokongan kepada Hajiji.

Seorang lagi yang bersama kumpulan Shahelmey ialah Datuk James Ratib, dinaikkan pangkat daripada pembantu menteri ke portfolio Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat yang sebelum ini disandang Shahelmey.

Rombakan Kabinet negeri turut menyaksikan dua ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah antara menteri baharu yang mengangkat sumpah jawatan bagi portfolio masing-masing di Istana Seri Kinabalu, pagi kelmarin.

Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew daripada PKR memegang portfolio Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, manakala seorang lagi ADUN Luyang daripada DAP, Phoong Jin Zhe dilantik sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian.

Christina pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri dan memegang portfolio yang sama ketika pentadbiran kerajaan Parti Warisan (WARISAN) dari 2018 hingga 2020.

Sementara itu, Hajiji yang sebelum ini turut memegang portfolio Menteri Kewangan melepaskan jawatan itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada ADUN Karanaan, Datuk Masidi Manjun.

Masidi sebelum ini adalah Menteri Kewangan II dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Selain itu, beberapa lagi menteri sedia ada dalam Kabinet Sabah bertukar portfolio dalam rombakan yang dibuat kali ini.

Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Dr Joachim Gunsalam yang juga ADUN Kundasang yang sebelum ini memegang portfolio Menteri Pembangunan Perindustrian dilantik sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

ADUN Membakut, Datuk Mohd Arifin Arif yang sebelum ini Menteri Tugas-Tugas Khas pula dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Hanya Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim kekal dengan portfolio masing-masing.
Barisan Kabinet Sabah yang baharu mengangkat sumpah jawatan masing-masing di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu bermula kira-kira jam 10 pagi, Rabu.

Dalam pada itu, Hajiji berkata rombakan Kabinet perlu dilakukan bagi menyatukan semula dan membentuk barisan Kabinet kerajaan negeri yang kukuh.

Katanya, beliau memasukkan ADUN PH, sebagai tambahan kepada wakil dari UMNO dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi mewujudkan sebuah pentadbiran yang inklusif.

“Adalah penting bagi kerajaan negeri di bawah kepimpinan saya berfungsi sebagai sebuah pasukan padu yang berkongsi aspirasi sama yang dibentuk melalui semangat saling mempercayai dan menghormati.

“Kerajaan negeri mahu pemimpin yang memiliki iltizam yang sehaluan dan menghargai setiap keperluan bagi memastikan usaha membangunkan negeri berjalan dengan lancar dan tanpa sebarang gangguan seperti yang diharapkan oleh rakyat,” katanya.

Hajiji yang juga ADUN Sulaman berkata, kestabilan politik adalah penting untuk mencapai matlamat itu.

Beliau berkata, dengan adanya satu pasukan yang kukuh, kerajaan negeri akan memastikan pelaburan dinamik dapat dikekalkan, seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur di samping dapat menarik lebih ramai lagi untuk datang melabur ke Sabah.

“Kita perlu memastikan momentum pembangunan terus maju dan seterusnya dapat memenuhi janji pilihan raya kepada rakyat dan negeri,” katanya.

BACA JUGA:

Jawatan presiden, timbalan presiden tidak akan dipertandingkan – disokong oleh 140 Ketua Bahagian UMNO

Dua penumpang cedera akibat ’Power Bank’ terbakar dalam pesawat

Gudang Elrah Exclusive dianggarkan 30 peratus kemusnahan akibat kebakaran