Bersatu kena ‘game’ dengan UMNO amaran PRU15 awal

Bersatu kena ‘game’ dengan UMNO amaran PRU15 awal. Perikatan Nasional (PN) kini terperangkap apabila Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan beliau bersedia mengadakan pilihan raya umum (PRU15) awal jika gabungan itu menarik balik sokongan kepada pentadbirannya.

Ketegangan antara perdana menteri dan PN dilaporkan meningkat apabila gabungan pimpinan Bersatu itu menuduh Ismail gagal menunaikan beberapa janji, termasuk pelantikan timbalan perdana menteri.

Berikutan itu, PN dilaporkan mahu berundur daripada kerajaan, tetapi penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM) Awang Azman Pawi berkata, penegasan Ismail semalam bahawa beliau tidak akan teragak-agak untuk mengadakan PRU15 jika PN menarik balik sokongan bermakna perdana menteri itu mencabar gertakan Bersatu.

“Bersatu tidak mempunyai apa-apa yang boleh mereka gunakan untuk memberi impak besar pada PRU15. Jika mereka ada jawatan timbalan perdana menteri, mereka dapat dilihat telah mengukuhkan kedudukan dalam kerajaan,” kata Awang Azman.

“Namun tanpa (jawatan timbalan perdana menteri), mereka dilihat gagal dalam usaha mengukuhkan kuasa mereka. Ini membawa persepsi negatif terhadap mereka, terutama dalam kalangan pengundi.

“Mereka perlu jawatan timbalan perdana menteri untuk membuktikan mereka masih relevan dan untuk meningkatkan imej dan pengaruh mereka.

“Kini mereka terperangkap. (Ismail) ada kelebihan.”

Awang Azman menegaskan bahawa pengumuman Ismail semalam juga penting kerana beliau tidak mahu “dipersalahkan Umno” kerana memberi Bersatu – parti serpihan Umno – peranan penting dalam kerajaan. Ini terutamanya sekali apabila kebanyakan pemimpin Umno tidak dimaklumkan mengenai persetujuan Ismail dengan PN.

Tambahnya, penting juga bagi Ahli Parlimen Bera itu berpegang pada pendiriannya dalam perkara itu memandangkan “popularitinya dalam Umno rendah”. Popularitinya terjejas akibat kelewatannya memanggil PRU15 dan penantian lama parti itu sebelum Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) meluluskan pindaan perlembagaan parti untuk membolehkannya menangguhkan pemilihan.

Menyebut bahawa sesetengah ahli politik dan parti lebih bersifat oportunistik, Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, Bersatu mendahului dalam oportunisme. Ini “jelas dibuktikan” menerusi peranan mereka dalam Langkah Sheraton, serta desakan mereka baru-baru ini bagi jawatan timbalan perdana menteri, tambahnya.

“Saya tak rasa PN serius untuk menarik diri. Mereka hanya mencuba nasib,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis, Sivamurugan Pandian daripada Universiti Sains Malaysia (USM) menyatakan bahawa kegigihan Bersatu untuk mendapatkan jawatan timbalan perdana menteri nampaknya tidak membuahkan hasil yang diharapkan.

Katanya, sekiranya Ismail menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen jika PN menarik balik sokongan, Bersatu “akan dihukum” kerana mereka kelihatan seolah-olah lebih berminat dengan jawatan tinggi berbanding kerajaan yang stabil.

“Mengancam untuk menarik balik sokongan kepada pentadbiran bukan cara untuk mencapai kestabilan,” kata Sivamurugan.

“Saya juga tak rasa beliau (Ismail) mahu dijadikan ‘tebusan’ dan diancam oleh pemimpin lain.

“Mereka (Bersatu) perlu berhati-hati dalam memutuskan apa yang mereka mahu supaya ia tidak akhirnya membawa padah.”

BACA JUGA :

Bersatu johor kecewa Tengku Zafrul khianati PN, pilih BN

[Video] Teman lelaki gilis kekasih sehingga mati

Dua petugas kesihatan kantoi melakukan hubungan seks di bahagian belakang sebuah ambulans