Bom lama ditemui di Yong Peng adalah Bom Perang Dunia Kedua

Bom lama ditemui di Yong Peng adalah Bom Perang Dunia Kedua. Sebutir bom lama dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua dimusnahkan di ladang kelapa sawit, di Jalan Hokien Yong Peng pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, bom lama jenis UXO Aerial Bomb itu diletupkan Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada jam 11 pagi.

“Balai Polis Yong Peng menerima maklumat daripada orang awam berhubung sebiji bom lama dijumpai di kebun kelapa sawit di kawasan Kangkar Baru pada jam 5.30 petang Rabu.

“Bom tersebut telah dibawa dan diletakkan di tepi Jalan Kota 2, Taman Kota, Yong Peng. Bom tersebut kemudian dipindahkan ke tempat yang selamat di ladang kelapa sawit Jalan Hokien dengan kawalan oleh polis.

“Bom telah dimusnahkan dengan kaedah letupan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai agar segera menghubungi polis sekiranya menjumpai sesuatu objek yang disyaki atau menyerupai bom.

“Jangan sentuh sesuatu objek yang disyaki atau menyerupai bom kerana ia boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain,” katanya.

BACA JUGA :

Tze Yong tewas di tangan Kodai Naraoka, menyebabkan dia tersingkir

Pembahagian kerusi PN untuk PRN akan datang diselesaikan segera

19 kes pecah rumah berjaya diselesaikan