Demi bantu mangsa yang terbabas, seorang lelaki nekad terjun ke tasik

Demi bantu mangsa yang terbabas, seorang lelaki nekad terjun ke tasik.

Seorang lelaki nekad terjun ke dalam sebuah tasik di Jalan Bukit Pasir di sini, demi menyelamatkan nyawa tiga individu selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka terbabas dan terjatuh ke dalam tasik berkenaan.

Suzaini Mohd Sadali, 43, seorang penyelia kilang berkata ketika kejadian dia sedang memandu di sekitar tasik yang dikenali sebagai Tasik Merdeka, sebelum ternampak sebuah kereta di hadapannya terbabas dan terus terjunam ke dalam tasik yang merupakan bekas lombong bauksit.

 

“Saya kemudiannya memberhentikan kereta dan terlihat mangsa yang terdiri daripada dua wanita di sebelah tempat duduk pemandu dan penumpang belakang, berpaut pada badan kereta sambil menangis.

“Pemandu kereta merupakan seorang lelaki dan dia pula sudah terkapai-kapai. Bila nampak saya, dia menjerit minta tolong, saya terus terjun tanpa berfikir kerana tidak sanggup membiarkan mereka,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Suzaini berkata, dia berjaya membawa mangsa lelaki ke tepi tasik sebelum dua lelaki lain yang merupakan orang awam, membantu menyelamatkan kedua-dua wanita itu dengan menarik mereka ke tebing.

“Saya bersyukur kerana kesemua mangsa berjaya diselamatkan daripada lemas. Pengalaman ini sangat berharga buat saya. Saya memang tahu berenang, tidak sangka tasik ini terlalu dalam dan jika kesemua mangsa dibiarkan, mungkin mereka akan terus tenggelam,” katanya.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta itu hilang kawalan lalu terbabas dan terus masuk ke dalam tasik di sebelah kanan jalan, namun dengan bantuan orang awam ketiga-tiga mangsa sempat keluar sebelum kereta tersebut tenggelam.

“Kesemua mangsa yang berusia antara 25 hingga 28 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59 kerana gagal mengawal kenderaan semasa memandu.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar kejadian berkenaan di media sosial sehingga orang ramai memuji tindakan dan keprihatinan Suzaini, yang berani menggadai nyawa demi membantu menyelamatkan ketiga-tiga mangsa daripada lemas.

BACA JUGA:

Sarawak berhasrat bina pusat kanser akhir tahun ini

Rusia beri amaran akan musnahkan 14 kereta kebal yang dihantar UK ke Ukraine

5,100 KG minyak masak paket bersubsidi dibungkus, disimpan tanpa kebenaran