Di sebalik musibah banjir, pondok jadi tempat keluarga ini bersyukur

Di sebalik musibah banjir, pondok jadi tempat keluarga ini bersyukur. Pasangan suami isteri bersama anak berusia setahun tidak kisah tidur berhimpit di dalam pondok sementara selepas kediaman mereka di Kampung Putat Tujuh, di sini, dinaiki air sejak Sabtu lalu.

Mohd Azim Fazwan, 21, dan isteri, Nur Eva Juliana Zainudin, 18, adalah antara 41 mangsa yang mengambil inisiatif membina pondok sebagai tempat berteduh sepanjang banjir.

Katanya, mereka berpindah di pondok berkenaan apabila air memasuki rumahnya sedalam 0.4 meter selain bimbangkan keselamatan terutama kepada anaknya, Nur Ilyana Arisha.

“Saya mengambil masa selama dua minggu untuk menyiapkan pondok ini yang dibina menggunakan kayu hutan. Sebelum ini, kami semua akan tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS), tetapi bagi mengelak berlaku kesesakan kami mengambil keputusan untuk berada di pondok saja.

“Tambahan pula, pondok sementara ini berdekatan PPS dan makan minum kami masih melalui bantuan yang dihantar oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Alhamdulillah, dua malam kami duduk di pondok, keadaan baik-baik saja selain memastikan agar binaan kukuh dan selamat untuk diduduki,” katanya ketika menerima lawatan daripada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan.

Mohd Azim berkata, paras air di penempatannya semakin meningkat menyebabkan dia membeli barangan dapur sebagai bekalan jika banjir masih melanda selama beberapa hari.

Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 12 keluarga dari Kampung Putat Tujuh, di sini, membina pondok sementara untuk dijadikan tempat berlindung.

Penduduk mengambil tindakan mencari kayu hutan untuk menyiapkan pondok masing-masing, selain bergotong royong menyediakan paip untuk sumber air sepanjang menginap di situ.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Aidawati Baharin, 31, berkata dia bersama suami dan tiga anak turut berpindah ke pondok sementara yang dibina sendiri sebelum banjir melanda.

“Memanglah, ia tidak selesa seperti bermalam di rumah, tetapi saya tetap bersyukur ada juga tempat untuk kami berlindung. Alhamdulillah, anak-anak tidur dengan lena walaupun sebelah malam hujan turun tanpa henti.

“Pondok kami juga dibina dengan baik dan kukuh selain tidak bocor walaupun hujan lebat,” katanya.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada JKM kerana tetap menyampaikan bantuan makanan kepada mereka yang berpindah ke pondok masing-masing.

BACA JUGA:

Zahid mempengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), siapsiaga hadapi bencana banjir

Neelofa sekali lagi jadi perhatian, kali ini di gelanggang futsal

Bank susu patuh syariah pertama di Malaysia, inspirasi Raja Permaisuri Agong