Hukum Qadha solat bagi seseorang yang meninggalkan solat dengan sengaja

Hukum Qadha solat bagi seseorang yang meninggalkan solat dengan sengaja. Kami dapati bahawa sesuatu isu yang dikemukakan kadang-kadang menjadi polemik yang begitu hangat dalam kalangan masyarakat. Sebagai contohnya, isu qadha solat bagi sesiapa yang meninggalkannya secara sengaja.

Walaupun kami telah menjelaskan berkenaan isu ini secara sepintas lalu di dalam beberapa penulisan sebelum ini, namun kami tetap merasakan amat penting untuk ianya ditekuni dengan lebih tuntas dan mendalam.

Justeru, kami menamakan ruangan baharu ini sebagai: Tahqiq Al-Masa’il, khusus dalam memberikan penjelasan yang tuntas bagi setiap bentuk permasalahan yang menjadi khilaf yang muktabar.

Pada ruangan kali ini, kami mengangkat suatu tajuk yang penting untuk dibahas secara terperinci iaitu: Hukum Qadha’ Solat Bagi Sesiapa Yang Meninggalkannya Dengan Sengaja.

Ancaman Bagi Yang Meninggalkan Solat Dengan Sengaja

Kami nukilkan daripada kitab al-Kabair oleh Imam al-Zahabi:

“Solat adalah diumpamakan seperti pertalian hamba dengan Tuhannya, yang mana orang yang memutuskan pertalian itu dikira berdosa besar, apatah lagi jika dia mengingkari kewajipannya atau memperkecilkan-kecilkan orang yang mengikat pertalian itu sehingga boleh dianggap kafir, jika tidak perlu bertaubat dan kembali kepada Tuhan-Nya.

Allah SWT berfirman:

فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيّاً (٥٩) إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحاً
Maksudnya: Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka), kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh.
(Surah Maryam: 59-60)

Ibn Abbas RA berkata: “Pengertian ‘meninggalkan solat’ tersebut bukanlah beerti meninggalkan solat itu sama sekali, malah yang dimaksudkan ialah mengakhirkannya dari waktunya.”

Said bin Musayyib Rahimahullah pula berkata: “Maksud ‘meninggalkan solat’ adalah seseorang yang yang tidak solat zohor kecuali sehingga datangnya waktu asar, dan tidak solar asar sehingga datangnya waktu maghrib, dan tidak solat maghrib sehingga datangnya waktu isya’ dan tidak solat isya’ sehingga datangnya waktu fajar solat subuh, kemudian tidak menunaikan solat subuh sehingga terbitnya matahari. Maka sesiapa yang mati di atas cara yang sedemikian itu dan tidak bertaubat (sebelum matinya), maka Allah SWT akan meletakkannya sebagai orang yang berdosa, dan kerana itu juga dia akan dimasukkan ke dalam neraka jahannam pada bahagian yang paling dalam sekali.

Firman Allah SWT:

فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ، الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ

Maksudnya: (Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.
(Surah al-Ma’un: 4-5)

Iaitu lalai daripada menunaikan solat serta mensia-siakan solat.”

Sa’ad bin Abi Waqqas RA berkata: “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang orang yang melalaikan solatnya, maka Baginda menjawab: “Iaitu mengakhirkan waktu solat (daripada waktunya yang asal sehingga sampai kepada waktu solat yang lain). Mereka itu tetap dinamakan orang-orang yang menunaikan solat iaitu sebagai musalliin. Akan tetapi kerana mereka telah mensia-siakan dan mengakhirkan waktu solat tersebut, maka mereka diancam dengan neraka Wail, iaitu seksaan yang teramat pedih di dalamnya. Ada juga yang mengatakan Wail itu adalah sebuah lembah di dalam neraka Jahannam, yang sekiranya gunung-gunung di dunia ini dicampakkan ke dalamnya, maka gunung-gunung itu akan menjadi cair akibat kepanasannnya yang teramat. Maka itulah tempat bagi mereka yang mensia-siakan solatnya dan mengakhirkan solatnya sehingga keluar dari waktunya. Kecuali jika dia telah bertaubat kepada Allah SWT dan menyesal akan kesalahannya itu.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.
(Surah al-Munafiqun: 9)

Menurut ahli tafsir, katanya: “Zikir kepada Allah atau mengingati Allah itu di dalam ayat ini, iaitu mengerjakan solat lima waktu. Sesiapa yang disibukkan oleh hartanya ataupun anak-anaknya atau urusan perniagaan jual beli dan mencari saraan hidup ataupun disibukkan dengan pengurusan tanah kebunnya sehingga membuatkannya lalai dari mengerjakan solat sehingga keluar daripada waktunya, maka mereka itu akan tergolong dalam kategori orang-orang yang paling rugi, ini kerana Nabi SAW telah bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ، فَإِنْ صَلَحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ

Maksudnya: “Perkara pertama yang akan dihisab pada diri seseorang pada orang hari akhirat daripada sekalian amalnya ialah solatnya. Jika solatnya benar (sempurna), maka jika baik solatnya maka dia akan berjaya dan menang, dan jika solatnya kurang (iaitu tidak benar) maka dia akan rugi dan menyesal.”

Riwayat al-Tirmizi (413), Ahmad (8017), Abu Daud (864) dan Ibn Majah (1425)

Allah SWT telah menyebut di dalam al-Quran tentang kedudukan penghuni neraka yang tidak mengerjakan solat. Firman Allah SWT:

مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ (٤٢) قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ (٤٣) وَلَمْ نَكُ نُطْعِمُ الْمِسْكِينَ (٤٤) وَكُنَّا نَخُوضُ مَعَ الْخَائِضِينَ (٤٥) وَكُنَّا نُكَذِّبُ بِيَوْمِ الدِّينِ (٤٦) حَتَّى أَتَانَا الْيَقِينُ (٤٧) فَمَا تَنْفَعُهُمْ شَفَاعَةُ الشَّافِعِينَ

Maksudnya: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang; Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin; Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya; Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan, sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini. Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.
(Surah al-Mudassir: 42-48)

Nabi SAW bersabda lagi:

الْعَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلَاةُ، فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ
Maksudnya: “Perjanjian diantara kami dan mereka (orang-orang munafiq itu), ialah dengan solat. Maka sesiapa yang yang meninggalkannya sungguh dia telah menjadi kafir.”
Riwayat Ahmad (23403), al-Nasaie (326), al-Tirmizi (2621) dan Ibn Hibban (1454)

Dan Nabi SAW juga bersabda:

وبين الشرك والكفر ترك الصلاة
Maksudnya: “Yang membezakan antara seorang hamba (yang mukmin) dengan seorang yang kafir, iaitu meninggalkan solat.”
Riwayat Muslim (82) dan Ahmad (14947)

Yang memberi makna bahawa jika seseorang meninggalkan solat dengan sengaja serta mengingkarinya akan membawa kepada kafir. Di dalam Sahih al-Bukhari terdapat sabda Nabi SAW:

مَنْ فَاتَتْهُ صَلَاةُ الْعَصْرِ حَبِطَ عَمَلُهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan solat asar, maka sia-sialah amalnya.”
Riwayat al-Bukhari (553)

Sabda Nabi SAW lagi:

مَنْ تَرَكَ الصلاةَ متعمِّدًا فقَدْ بَرِئَتْ منْهُ ذِمَّةُ اللهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja maka dia terlepas dari perlindungan Allah.”
Riwayat al-Baihaqi (14895) dan Ahmad (28007)

Nabi SAW bersabda lagi:

أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّداً رَسُوْلُ اللهِ، وَيُقِيْمُوا الصَّلاَةَ وَيُؤْتُوا الزَّكاَةَ، فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلاَّ بِحَقِّ الإِسْلاَمِ وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللهِ تَعَالىَ
Maksudnya: “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia hingga mereka bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasulullah, menegakkan solat, menunaikan zakat. Jika mereka melakukan hal itu maka darah dan harta mereka akan dilindungi kecuali dengan hak Islam dan perhitungan mereka ada pada Allah SWT.”
Riwayat al-Bukhari (25) dan Muslim (20)

Nabi SAW bersabda:

مَنْ حافظَ عليْهَا كانَتْ له نورًا وبرهانًا ونجاةً يومَ القيامةِ، ومَنْ لمْ يحافظْ عليهَا لمْ يكنْ لَهُ نورٌ ولا برهانٌ ولا نجاةٌ وحُشِرَ يومَ القيامةِ معَ فرعَونَ وهامانَ وقارونَ وأُبَيِّ بنِ خلفٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang menjaga solatnya, maka solatnya itu akan menjadi cahaya baginya, dan bukti serta penyelamat pada hari kiamat. Dan sesiapa yang tidak menjaga solatnya maka tiadalah baginya mendapat cahaya, bukti dan keselamatan pada hari kiamat, malah pada hari itu dia akan (dibangkitkan) bersama-sama dengan Firaun, Qarun, Haman, dan Ubai bin Khalaf.”
Riwayat Ahmad (6540) dan al-Darimi (2721)

Umar bin Khattab RA berkata: “Seseorang itu tidak akan bernasib baik di dalam Islam jika dia meninggalkan solat.”

Ali RA telah ditanya tentang wanita yang tidak solat, maka beliau menjawab: “Sesiapa yang tidak solat, maka dia sebagai tidak beragama.” Hadis riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim.

Ibn Mas’ud RA berkata: “Sesiapa yang tidak solat maka dia tidak beragama.”

Ibn Abbas R.Anhuma berkata: “Sesiapa yang meninggalkan solat sekali sahaja dengan sengaja, maka dia akan mengadap Allah SWT dalam keadaan mendapat kemurkaan.” Riwayat Ahmad dan Abu Daud.

Ibn Hazm Rahimahullah berkata: “Tidak ada dosa yang lebih besar sesudah syirik, kecuali bagi orang yang melewatkan solatnya dari waktunya yang sebenar, atau dia membunuh seorang mukmin dengan cara yang salah.”

Ibrahim al-Nakhaie Rahimahullah berkata: “Sesiapa yang meninggalkan solat, maka sungguh dia telah menjadi kafir.” Demikian juga pendapat Ayyub al-Sakhtiani.

Aun bin Abdullah Rahimahullah berkata: “Sesungguhnya seseorang itu jika telah memasuki alam kubur, maka yang ditanyakan adalah tentang solatnya, dan itulah yang pertama ditanyakan. Jika telah lulus maka akan dilihat pada amalnya yang lain. Dan jika solatnya tidak memenuhi syarat, maka amalnya yang lain tidak akan dilihatnya lagi.” Lihat al-Kabair oleh Imam al-Zahabi (30-36) t.

Hukum Meninggalkan Solat Daripada Kitab al-Fiqh al-Manhaji

Kami nukilkan pendapat Ashab al-Fadhilah guru-guru kami ini:

Orang yang meninggalkan solat sama ada kerana malas, cuai, ingkar dan sengaja meringan-ringankannya. Sesiapa yang meninggalkan solat kerana mengingkari hukum wajibnya atau sengaja mempersenda-sendakannya akan menjadi kafir dan terkeluar daripada agama Islam. Pihak pemerintah wajib menyuruhnya bertaubat dan tidak membiarkannya demikian sehingga dia bertaubat dan kembali mendirikan solat. Jika terus mengingkarinya dia akan dihukum bunuh sebagai seorang murtad dan mayatnya tidak harus dimandikan, dikapankan dan disembahyangkan. Malah tidak harus dikebumikan di tanah perkuburan orang Islam kerana dia bukan lagi di kalangan mereka.

Sementara orang yang meninggalkan solat kerana malas tetapi masih meyakini hukum wajibnya, pihak pemerintah hendaklah memaksanya mengqadha’kan solat, dan bertaubat daripada kesalahan meninggalkannya.

Jika masih ingkar mengqadha’nya dia wajib dihukum bunuh mengikut hukuman yang disyariatkan atas orang Islam yang melakukan maksiat. Ini kerana hukuman atas orang yang meninggalkan fardhu adalah wajib diperangi tetapi selepas dibunuh, dia masih dianggap seorang Islam. Justeru, jenazahnya, pengkebumiannya, dan pembahagian hartanya hendaklah diuruskan menurut tatacara Islam.

Ini berdasarkan hadis, daripada Ibn Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:

أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَيُقِيمُوا الصَّلاَةَ، وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ، فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّى دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلاَّ بِحَقِّ الإِسْلاَمِ، وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللَّهِ
Maksudnya: “Aku diperintahkan memerangi manusia hingga mereka mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan mengaku bahawa Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah, mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Apabila mereka telah melakukannya terpeliharalah darah dan harta benda mereka daripada tindakan aku, kecuali dengan kebenaran Islam dan terserahlah perhitungan mereka itu kepada Allah.”
Riwayat al-Bukhari (25) dan Muslim (22)

Hadis tersebut menunjukkan sesiapa yang telah berikrar dengan dua kalimah syahadah, tetap diperangi jika dia tidak mendirikan solat tetapi tidak dihukum sebagai kafir berdalilkan hadis yang berikut:

Daripada Ubadah bin al-Somit RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

خَمْسُ صَلَوَاتٍ كَتَبَهُنَّ اللَّهُ عَلَى الْعِبَادِ فَمَنْ جَاءَ بِهِنَّ لَمْ يُضَيِّعْ مِنْهُنَّ شَيْئًا اسْتِخْفَافًا بِحَقِّهِنَّ كَانَ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدٌ أَنْ يُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ وَمَنْ لَمْ يَأْتِ بِهِنَّ فَلَيْسَ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدٌ إِنْ شَاءَ عَذَّبَهُ وَإِنْ شَاءَ أَدْخَلَهُ الْجَنَّةَ
Maksudnya: “Allah telah mewajibkan solat lima waktu atas hamba-hamba-Nya. Sesiapa yang tetap melakukannya tanpa meninggalkan satu pun daripadanya lantaran meringan-ringankan hukum wajibnya, Allah berjanji akan memasukkannya ke dalam syurga. Sebaliknya sesiapa yang tidak melakukannya, Allah tidak menjanjikan apa-apa pun kepada-Nya sama ada mengazabkannya atau memasukkannya ke dalam syurga mengikut kehendak-Nya.”
Riwayat Abu Daud (1420)

Hadis ini menunjukkan orang yang meninggalkan solat tidak dihukumkan kafir kerana jika dihukumkan demikian tentulah tidak termasuk dalam maksud sabda Nabi SAW, Allah akan memasukkannya ke dalam syurga mengikut kehendak-Nya. Ini kerana hanya orang kafir yang tidak akan masuk ke dalam syurga sama sekali. Justeru, maksud tidak kafir adalah ditujukan kepada mereka yang meninggalkan solat disebabkan malas bagi menerima pakai semua dalil tersebut.

Ini berdasarkan hadis, daripada Jabir RA katanya, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلاَةِ
Maksudnya: “Yang membezakan seseorang Islam dengan syirik dan kafir itu ialah meninggalkan solat.”
Riwayat Muslim (82) dan yang lainnya

Maksud hadis ini ditujukan kepada orang yang meninggalkan solat kerana mengingkari hukum wajibnya atau mempersenda-sendakan dan meremehkannya.

Pendapat Ulama Berkenaan Qadha Solat Yang Ditinggalkan Dengan Sengaja

Dalam menjawab persoalan ini, kami kemukakan kepada beberapa noktah penting:

Pertama: Pendapat yang mewajibkan qadha solat:

Berikut kami nyatakan beberapa tokoh ulama yang berpandangan bahawa sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja maka wajib ke atasnya untuk qadha solat tersebut.

Inilah pendapat jumhur ulama. Antaranya, Imam Syafie, Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Ahmad dan kebanyakkan para ulama dalam kalangan ahli tafsir, ahli hadis, ahli fiqh, ahli usul dan lain-lain.

Berikut kami nyatakan secara terperinci beberapa tokoh ulama dan hujah-hujah bagi yang berpandangan bahawa sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja maka wajib ke atasnya untuk qadha solat tersebut.

Tokoh besar dari kalangan ulama salaf iaitu Imam Muhammad Bin Nasr al-Marwazi berkata: Apabila seorang lelaki itu meninggalkan solat dengan sengaja sehingga telah tamat waktunya, maka ke atasnya qadha. Kami tidak mengetahui sebarang khilaf dalam hal ini. Sesiapa yang mengkafirkannya disebabkan dia meninggalkan solat dengan sengaja, maka perlu memintanya untuk bertaubat. Dan apabila dia bertaubat dan menunaikan qadha dianggap sebagai dia telah kembali kepada Islam. Dan sesiapa yang tidak menganggap perbuatan meninggalkan solat itu suatu kekufuran, maka orang yang meninggalkan solat dianggap sebagai pelaku maksiat, dan wajib ke atasnya untuk melakukan qadha. Rujuk Fath al-Bari, Ibn Rajab al-Hanbali (5/136).

Imam Ibn Rushd Rahimahullah menyatakan: Para ulama sepakat bahawa sesiapa yang meninggalkan solat disebabkan terlupa atau tertidur, maka wajib ke atasnya qadha. Dan mereka berbeza pendapat berkenaan isu qadha ke atas sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja ataupun disebabkan pengsan.

Kata beliau lagi: Sesiapa yang meninggalkan solat sehingga keluar waktunya, maka jumhur ulama menganggapnya sebagai berdosa serta wajib qadha ke atas dirinya. Manakala sebahagian ahli zahir (mazhab zahiri) berpendapat bahawa tidak wajib qadha ke atasnya dan dia dianggap sebagai berdosa. Salah seorang yang berpendapat sedemikian adalah Abu Muhammad Ibn Hazm.

Imam Ibn Rushd Rahimahullah turut menyatakan sebab-sebab perbezaan pendapat di antara dua kumpulan tersebut. Kata beliau Rahimahullah: Sebab-sebab perselisihan pendapat di antara mereka adalah pada dua perkara:

Pertama: Keharusan menggunakan al-Qiyas di dalam syara’.

Kedua: Sekiranya diharuskan penggunaan qiyas, adakah boleh untuk diqiyaskan di antara seseorang yang meninggalkan solat secara sengaja dengan seseorang yang meninggalkannya disebabkan terlupa.

Kata Ibn Rushd lagi: Maka sesiapa yang melihat apabila seseorang yang terlupa itupun diwajibkan qadha ke atasnya sedangkan dalam banyak perkara mereka diberikan keuzuran, maka seseorang yang sengaja adalah lebih utama untuk diwajibkan ke atasnya untuk melakukan qadha kerana tidak ada keuzuran buat dirinya. Maka kumpulan ini mewajibkan qadha kepada orang yang meninggalkan solat dengan sengaja.

Manakala sesiapa yang berpendapat bahawa orang yang terlupa dan orang yang sengaja itu sifatnya berlawanan dan tidak boleh untuk diqiyaskan di antara satu sama lain kerana hukum hakam mereka berbeza. Maka golongan ini tidak membenarkan qiyas orang yang sengaja kepada orang yang terlupa. Rujuk Bidayah al-Mujtahid, Ibn Rushd (1/192-193).

Kata al-Imam al-Qurthubi Rahimahullah: Sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka jumhur fuqaha mengatakan wajib ke atasnya untuk melakukan qadha sekalipun dia dianggap sebagai pelaku maksiat kecuali diperselisihi oleh Daud dan pendapatnya itu turut dipersetujui oleh Abu Abd al-Rahman al-Asy’ari al-Syafi’e sebagaimana yang telah diceritakan darinya oleh Ibn al-Qassar.

Kemudian Imam al-Qurthubi memberikan beberapa hujah untuk menguatkan lagi pendapat jumhur. Kata beliau: Telah sabit perintah kepada orang yang tidur dan terlupa untuk melakukan qadha, dalam keadaan kedua-duanya tidak dianggap berdosa, maka orang yang sengaja meninggalkan solat adalah lebih utama (untuk melakukan qadha).

Di antara hujah lain bagi jumhur fuqaha adalah berdasarkan sebuah hadis:

مَنْ نَامَ عَنْ صَلَاةٍ أَوْ نَسِيَهَا
Maksudnya: “Sesiapa yang tertidur sehingga terlepas solat ataupun dia terlupa untuk solat.”

Lalu kata al-Qurthubi: Yang dimaksudkan dengan lupa adalah meninggalkan. Ini kerana, Allah SWT berfirman:

نَسُوا اللَّهَ فَنَسِيَهُمْ
Maksudnya: Mereka meninggalkan Allah maka Allah meninggalkan mereka.
Surah al-Taubah (67)

Perkataan نَسِي di dalam ayat tersebut bukan bermaksud lupa kerana Allah SWT sama sekali tidak bersifat pelupa. Akan tetapi yang dimaksudkan di situ adalah Allah SWT meninggalkan mereka.

Kami katakan di sini, bahawa perkataan نَسِي yang dimaksudkan di dalam hadis tersebut juga membawa erti meninggalkan. Sama ada solat itu ditinggalkan dengan sengaja atau tidak sengaja, maka wajib qadha ke atas sesiapa yang meninggalkannya.

Imam al-Qurthubi juga menyebutkan beberapa hujah lain seperti katanya yang berikut: Sesungguhnya hutang-hutang bagi anak Adam, sekiranya ia berkaitan dengan waktu, maka tidak gugur kewajipan untuk melangsaikannya apabila telah sampai tempohnya. Demikian hutang-hutang kepada Allah adalah lebih utama untuk tidak gugur dalam melangsaikannya melainkan dengan izin daripada-Nya sendiri.

Demikian juga al-Qurthubi mengatakan: Kita telah sepakat bahawa sekiranya ditinggalkan berpuasa dalam sehari pada bulan Ramadan dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran, maka wajib ke atas orang yang meninggalkannya itu untuk melakukan qadha. Begitulah juga halnya dengan solat. Lihat al-Jaami’ Li Ahkam al-Quran, al-Qurthubi (11/119-120).

Kata Imam al-Nawawi Rahimahullah: Telah ijma para ulama bahawasanya sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja wajib untuknya qadha. Dan ia diperselisihi oleh Abu Muhammad Ali Bin Hazm. Beliau berkata: Seseorang yang meninggalkan solat dengan sengaja tidak mampu untuk mengqadhakannya selama-lamanya, dan tidak sah melakukannya. Beliau berkata, bahkan orang tersebut memperbanyakkan amalan kebaikan dan solat-solat sunat supaya dapat memberatkan timbangannya pada hari kiamat dan dia beristighfar kepada Allah serta bertaubat.

Dan pendapat yang beliau katakan ini bersama-sama dengan bercanggahnya ia dengan ijma ulama adalah suatu yang batil dari sudut dalil. Bahkan dia memanjangkan perbahasan dalam beristidlal dengannya dalam keadaan tidak ada sebarang dalil pada asalnya.

Imam al-Nawawi menyatakan satu hujah bagi pandangan yang mewajibkan qadha iaitu berdalilkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.anh bahawa Nabi S.A.W:

أَمَرَ الْمُجَامِعَ فِي نَهَارِ رَمَضَانَ أَنْ يَصُومَ يَوْمًا مَعَ الْكَفَّارَةِ أَيْ بَدَلَ الْيَوْمِ الَّذِي أَفْسَدَهُ بِالْجِمَاعِ عَمْدًا
Maksudnya: “Nabi S.A.W memerintahkan orang yang bersetubuh pada siang hari bulan Ramadan supaya dia berpuasa sehari bersama dengan kaffarah iaitu mengganti hari yang dia rosakkan dengan bersetubuh secara sengaja.”

Maka apabila diwajibkan qadha ke atas sesiapa yang meninggalkan kerana terlupa maka bagi orang yang sengaja adalah lebih utama. Lihat Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (3/71).

Imam Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah juga turut mengulas hadis yang berkenaan, iaitu hadis riwayat Anas bin Malik R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ نَسِيَ صَلاَةً فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَهَا، لاَ كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ
Maksudnya: “Sesiapa yang terlupa solat, maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia teringat akannya. Tidak ada kaffarah untuknya melainkan hal tersebut.”
Riwayat al-Bukhari (597)

Kata al-Hafiz Ibn Hajar: Golongan yang berpendapat bahawa seseorang yang meninggalkan solat tidak perlu mengqadhakannya berpegang dengan dalil ucapan yang terdapat di dalam hadis ini. Ini kerana, ternafinya syarat membawa kelaziman kepada ternafinya perkara yang disyaratkan. Maka menjadi kelaziman bahawa sesiapa yang tidak terlupa, dia tidak perlu solat.

Manakala golongan yang berpendapat bahawa sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja perlu untuk qadha berhujah bahawa ia diambil daripada mafhum al-khitab (mafhum di dalam hadis). Maka ia menjadi suatu tanbih (peringatan) dengan sesuatu yang rendah kepada sesuatu yang lebih tinggi. Ini kerana, apabila diwajibkan kepada orang yang terlupa untuk melakukan qadha sedangkan dosa terangkat darinya, maka adalah lebih utama untuk orang yang meninggalkannya dengan sengaja melakukan qadha.

Kata beliau lagi: Wajibnya qadha ke atas sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja adalah berdasarkan khitab (ucapan) yang awal. Ini kerana, dia diperintahkan untuk melakukan solat serta ia menjadi suatu tanggungjawab ke atas dirinya. Maka apabila ia ditinggalkan, ia menjadi satu hutang di atas dirinya dan hutang sama sekali tidak akan gugur kecuali setelah ia dilangsaikan. Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, Ibn Hajar al-Asqalani (2/71).

Kedua: Pendapat yang tidak mewajibkan qadha solat:

Antara ulama yang berpendapat seperti ini ialah:

Imam Ibn Hazm al-Andalusi (Al-Muhalla, 11/376).
Kata Imam Ibn Hazm Rahimahullah: Sesiapa yang sengaja meninggalkan solat sehingga keluar dari waktunya maka orang ini tidak akan mampu untuk mengqadhakannya buat selamanya. Hendaklah dia memperbanyakkan amalan kebaikan dan solat-solat sunat untuk dia memberatkan timbangan amalannya pada hari kiamat. Serta dia perlulah bertaubat dan beristighfar kepada Allah.

Kata beliau lagi: Hujah bagi membenarkan pendapat kami adalah firman Allah SWT:

فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلاتِهِمْ سَاهُونَ
Maksudnya: Maka binasalah bagi orang-orang yang solat. Yang mana mereka itu lalai terhadap solat mereka.
Surah Al-Ma’uun (4-5)

Sekiranya seorang yang meninggalkan solat dengan sengaja itu dikira mudrik (orang yang melakukan solat) setelah keluar dari waktunya, nescaya tidak akan ada kebinasaan untuknya.

Beliau juga turut berhujah bahawa: Sesungguhnya Allah SWT telah menjadikan bagi setiap solat fardhu itu waktunya yang tertentu kepada dua bahagian. Ia masuk pada waktu yang tertentu dan ia juga terbatal pada waktu yang tertentu. Maka tidak ada beza seseorang yang melakukan solat sebelum masuk waktunya dengan seseorang yang solat setelah tamat waktunya kerana kedua-duanya menunaikan solat bukan pada waktunya. Dan ini bukanlah qiyas salah satu ke atas yang lainnya, bahkan kedua-duanya sama telah melanggar batasan-batasan Allah. Allah SWT telah berfirman:

وَمَنْ يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ
Maksudnya: Sesiapa yang melanggar batasan-batasan Allah maka sesungguhnya dia telah menzalimi dirinya sendiri.
Surah al-Talaq (1)

Ibn Hazm juga menyebutkan bahawa qadha itu adalah mewajibkan suatu syariat. Sedangkan syariat itu tidak boleh datang daripada selain Allah melalui lidah Rasul-Nya. Maka kita tanyakan kepada kumpulan yang mewajibkan qadha ke atas orang yang meninggalkan solat dengan sengaja, beritahu kepada kami tentang solat yang kamu suruh lakukan kepada orang yang sengaja meninggalkannya, adakah ia solat yang Allah SWT perintahkan untuk lakukan ataupun yang selainnya? Sekiranya mereka menjawab: Ia adalah solat yang Allah SWT perintahkan. Maka kita katakan kepada mereka: Maka orang yang sengaja meninggalkannya tidaklah dianggap bermaksiat, kerana dia telah melakukan apa yang Allah perintahkan (solat qadha). Dan tidak ada dosa mengikut pendapat kalian serta tidak ada celaan kepada sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja sehingga tamat waktunya (kerana terdapatnya solat qadha).

Sekiranya mereka menjawab: Ia bukanlah solat yang Allah SWT perintahkan untuk dilakukan. Maka kami katakan: Kamu telah benar. Ini sahaja sudah mencukupi tatkala mereka sendiri mengakui bahawa mereka mengarahkannya melakukan apa yang Allah SWT sendiri tidak perintahkan.

Kemudian kita tanyakan lagi kepada mereka: Adakah meninggalkan solat dengan sengaja sehingga keluar waktunya itu suatu ketaatan atau maksiat ? Maka jika mereka menjawab ia adalah ketaatan, mereka telah menyanggahi ijma keseluruhan umat islam serta menyelisihi al-Quran dan al-Sunnah yang thabit. Jika mereka katakan perbuatan tersebut adalah maksiat, maka mereka telah benar. Dan di antara perkara yang batil itu adalah perbuatan maksiat menggantikan perbuatan taat.

Begitu juga Allah SWT telah menetapkan waktu-waktu solat melalui lidah Rasulullah S.A.W. Serta menjadikan bagi setiap waktu solat itu ada waktu awalnya yang mana sebelumnya bukanlah waktu untuk melakukannya. Serta ada waktu terakhir bagi solat yang mana waktu selepasnya bukanlah masa untuk melaksanakannya. Ini merupakan suatu perkara yang tidak diperselisihkan oleh para imam. Sekiranya boleh untuk dilakukan setelah daripada waktunya, maka sudah tentulah penentuan Nabi S.A.W terhadap akhir waktu solat menjadi tidak bermakna. Maka nescaya ia menjadi ucapan yang lagha (sia-sia). Maha Suci Allah dari perkara sebegini.

Hujah lain adalah, setiap amalan yang terikat dengan waktu yang tertentu, maka tidak sah dilakukan pada selain waktunya. Sekiranya ia sah dilakukan pada selain waktunya, nescayalah waktu tersebut tidak menjadi waktu untuk ia dilakukan dan ini merupakan suatu yang jelas. Rujuk Al-Muhalla Bil Athar, Ibn Hazm (2/10-11).

Pendapat seperti ini juga menurut Ibn Hazm dinisbahkan kepada para sahabat dan tabien antaranya:

Umar al-Khattab
Abdullah bin Umar al-Khattab
Sa’ad Bin Abu Waqas
Salman al-Farisi
Abdullah bin Mas’ud
Al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar
Budail al-‘Uqaili
Muhammad bin Sirin
Mutarrif bin Abdullah
Umar bin Abdul Aziz.
Antara pendapat Umar RA ialah:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ قَالَ فِي خُطْبَتِهِ بِالْجَابِيَةِ: أَلَا، وَإِنَّ الصَّلَاةَ لَهَا وَقْتٌ شَرَطَهُ اللَّهُ لَا تَصْلُحُ إلَّا بِهِ.
Maksudnya: “Bahawa Umar bin al-Khattab berkata dalam khutbahnya di Jabiah: “Ketahuilah sesungguhnya solat baginya waktu yang Allah syaratkan dengannya dan tidak sesuai kecuali dengannya.”

Abdullah bin Mas’ud RA berkata:

إنَّ لِلصَّلَاةِ وَقْتًا كَوَقْتِ الْحَجِّ؛ فَصَلُّوا الصَّلَاةَ؛ لِمِيقَاتِهَا.
Maksudnya: “Sesungguhnya bagi solat adalah waktu seperti waktu haji, maka solatlah kamu dalam waktunya.”
(Lihat al-Muhalla 2/13)

Ibn Rajab al-Hanbali.
Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah berkata: Adapun meninggalkan solat dengan sengaja maka majoriti ulama berpendapat bahawa wajib qadha buatnya dan sebahagian mereka ada yang mengatakan ijma akan hal tersebut. Sebahagian mereka berdalilkan ucapan Nabi S.A.W:

اقْضُوا اللهَ الَّذِي لَهُ، فَاللهُ أَحَقُّ بِالقَضَاءِ
Maksudnya: “Langsaikanlah hak-hak bagi Allah, Sesungguhnya Allah lebih berhak untuk dilangsaikan hutang kepada-Nya.”

Sebahagian lain pula berhujah bahawa apabila kumpulan yang ada keuzuran seperti terlupa dan tertidur pun diperintahkan untuk qadha, maka golongan yang tiada keuzuran adalah lebih utama.

Imam Ibn Rajab mengkritik pendapat ini dengan katanya: Sesungguhnya orang yang mempunyai keuzuran diperintahkan untuk qadha kerana qadha tersebut menjadi kaffarah baginya. Manakala orang yang meninggalkan solat dengan sengaja, qadha yang dilakukannya tidak menjadi kaffarah buat dirinya. Ini kerana dia dianggap sebagai pelaku maksiat yang memerlukan dia untuk bertaubat. Oleh kerana itulah kebanyakan ulama berpendapat, tidak ada kaffarah ke atas seseorang yang membunuh dengan sengaja serta tiada kaffarah ke atas seseorang yang bersumpah secara dusta dengan sengaja. Ini kerana kaffarah tidak menghapuskan dosa ini.

Beliau juga berkata: Demikian tidak ada dalil yang menunjukkan wajibnya qadha, kerana kita tidak mendapatkan suatu perintah baharu yang membawa kepada perlunya qadha ke atas sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja, seperti terdapatnya perintah qadha ke atas orang yang tidur dan terlupa.

Imam Ibn Rajab juga berkata: Mazhab Zahiriyyah atau kebanyakan mereka berpendapat bahawa tidak ada qadha ke atas sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja. Serta dihikayatkan daripada Abd al-Rahman yang merupakan tokoh mazhab al-Syafie di Iraq, juga Ibn Bint al-Syafie, dan ia merupakan pendapat Abu Bakr al-Humaidi berkenaan puasa dan solat apabila seseorang itu meninggalkan keduanya dengan sengaja, maka ianya tidak sah apabila diqadhakan. Inilah yang beliau sebutkan di akhir kitab Musnadnya. Rujuk Fath al-Bari, Ibn Rajab al-Hanbali (5/135).

Ibn Rajab turut mengatakan: Inilah yang terdapat dalam ucapan-ucapan para ulama kami (Al-Hanabilah) yang terdahulu. Di antara mereka adalah: Al-Juzjaani, Abu Muhammad al-Barbahari, dan Ibn Batthah.

Kata Ibn Batthah: Ketahuilah bahawa sesungguhnya solat itu mempunyai waktu-waktunya. Maka sesiapa yang mendahulukannya ke atas waktunya, tidak ada fardhu buatnya sama ada dengan keuzuran atau selainnya. Dan sesiapa yang melewatkannya dari waktu yang telah dipilih untuknya tanpa sebarang keuzuran, maka tidak ada fardhu baginya.

Maka beliau menjadikan solat setelah tamat waktunya tanpa sebarang keuzuran sama seperti solat sebelum masuknya waktu. Manakala ucapan beliau pada keduanya: Ia bukan fardhu. Ini bererti beliau berpendapat bahawa ia menjadi solat sunat dalam kedua-dua keadaan.

Imam Ibn Rajab juga menukilkan kata-kata Imam Hasan al-Basri yang dinukilkan daripada Muhammad bin Nasr al-Marwazi. Kata al-Hasan: Apabila seseorang lelaki itu meninggalkan satu solat dengan sengaja, maka sesungguhnya dia tidak mengqadhakannya. Kata Muhammad Bin Nasr: Kata-kata al-Hasan ini mengandungi dua makna:

Pertama: Sesungguhnya beliau menganggap kufur bagi sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja. Demikian itulah dia menganggap tidak adanya qadha. Ini kerana orang kafir tidak diperintahkan untuk melakukan qadha terhadap apa yang dia tinggalkan semasa dia berada dalam kekufurannya.

Kedua: Sekiranya beliau tidak menganggap kufur terhadap seseorang yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka sesungguhnya beliau berpendapat bahawa Allah SWT telah memfardhukan solat ke atas seseorang itu pada waktunya yang tertentu. Maka apabila dia meninggalkannya sehingga terkeluar waktunya, sesungguhnya dia telah melakukan maksiat. Disebabkan dia meninggalkan suatu kefardhuan pada waktu yang dia diperintahkan untuk melakukannya. Maka apabila dia menunaikan solat selepas waktunya yang diperintahkan, maka tidak ada manfaat dia lakukan sesuatu yang tidak diperintahkan.

Kata Al-Marwazi: Ini adalah pendapat yang tidak dapat disanggah, kecuali para ulama telah bersepakat dalam pendapat yang berbeza dengan ini. Rujuk Fath al-Bari, Ibn Rajab (5/137-138) serta Ta’zhim Qadr al-Solat, Muhammad Bin Nasr Al-Marwazi (2/1000).

Kata Imam Ibn Rajab al-Hanbali lagi: Dan tidak diketahui suatu pendapat pun daripada kalangan para sahabat yang mengatakan adanya qadha ke atas sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja. Bahkan aku tidak mendapati suatu pun pendapat yang sarih daripada para tabiin, melainkan daripada Imam al-Nakhaie. Lihat Fath al-Bari, Ibn Rajab al-Hanbali (5/139).

Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah: Dan orang yang berpandangan bahawa sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja tidak perlu untuk qadha tidaklah memaksudkan bahawa dia itu lebih ringan keadaannya berbanding orang yang lupa. Bahkan dia berpandangan bahawa sekiranya disyariatkan qadha ke atas orang yang meninggalkan solat dengan sengaja maka itu akan menjadikan dirinya sama dengan orang yang terlupa sedangkan orang yang lupa itu tidak berdosa berbeza keadaannya dengan orang yang sengaja meninggalkan. Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja lagi buruk keadaannya berbanding orang yang terlupa, bagaimana mereka menjadi sama ? Lihat Fath al-Bari, Ibn Hajar al-Asqalani (2/71).

Ibn Bint al-Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/308).
Abu Abd al-Rahman (Al-Asy’ari al-Syafie) sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn al-Qassar (Rujuk Tafsir al-Qurthubi (11/119).

Hadis Berkenaan Dengan Qadha

Kami kemukakan di sini beberapa hadis antaranya: Daripada Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda:

مَنْ نَسِيَ صَلَاةً أَوْ نَامَ عَنْهَا، فَكَفَّارَتُهَا أَنْ يُصَلِّيَهَا إِذَا ذَكَرَهَا
Maksudnya: “Sesiapa yang terlupa menunaikan solat atau tertidur daripada mengerjakan solat, maka kaffarahnya hendaklah ia menunaikan solat apabila ia mengingatinya.”
Riwayat al-Bukhari (597) dan Muslim (684)

Nabi SAW bersabda:

مَنْ نَسِيَ صَلاَةً فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَهَا، لاَ كَفَّارَةَ لَهَا
Maksudnya: “Sesiapa yang terlupa menunaikan tidak ada kaffarah baginya melainkan ia solat apabila mengingatinya.”
Riwayat al-Bukhari (597)

Nabi SAW bersabda:

مَنْ نَسِيَ صَلَاةً فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا

Maksudnya: “Sesiapa yang terlupa menunaikan solat, maka hendaklah ia mengerjakannya apabila mengingatinya.”
Riwayat Abu Daud (442), al-Tirmizi (178) al-Nasaie (613), Ibn Majah (576) dan Ibn Hibban (1555)

Nabi SAW bersabda:

إِذَا رَقَدَ أَحَدُكُمْ عَنِ الصَّلَاةِ، أَوْ غَفَلَ عَنْهَا، فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا
Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kamu tertidur daripada mengerjakan solat atau terleka dari mengerjakannya maka hendaklah ia mengerjakan solatnya apabila ia mengingatinya.”
Riwayat Muslim (684) dan Ahmad (12909

Titik Perselisihan dan Sebab Berlaku Khilaf

Kami nukilkan di sini daripada Ibn Rushd:

Pertama: Harus qias dalam Syara’.

Kedua: Qias orang yang sengaja kepada orang yang lupa jika diterima keharusan qias.

Lihat Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid (2/402)

Hujah Pendapat Yang Mewajibkannya

Berdasarkan hadis di atas antara hujah yang mewajibkannya ialah:

Qias yang orang sengaja dengan yang lupa. Jika sekiranya wajib qadha kepada orang yang lupa dimana syara’ menguzurkannya maka yang sengaja lebih aula dan utama.
Kewajipan tersebut pada bab al-taghliz (memberatkan).
Hukum berkenaan wajib qadha bagi yang lupa dan tidur adalah bersifat hukum ghalib kerana orang yang beriman tidak akan tinggal solat. Justeru bukanlah darurat atau semestinya mentansiskan atas setiap hal. Ini kerana memadai bagi syara’ mentansiskan sebahagian sahaja dan diqiaskan yang lain.
Hadis berkenaan dengan qadha bagi yang lupa dan yang tidur dikehendaki dengannya adalah menerangkan hukum waqie yang berlaku dan bukan dikehendaki dengan nafi hukum selain daripadanya.
Rasulullah SAW dalam hadis yang sahih menyebut tentang hutang Allah wajib diqadha ini berdasarkan berkenaan dengan wajib qadha haji bagi si mati.
Sabda Rasulullah SAW:

لَوْ كَانَ عَلَيْهَا دَيْنٌ أَكُنْتَ قَاضِيَهُ. قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَاقْضِ اللهَ، فَهُوَ أَحَقُّ بِالْقَضَاءِ
Maksudnya: “Kalaulah atas saudara perempuan kamu hutang adakah kamu membayarnya? Jawabnya: “Ia”. Sabda Baginda SAW: “Maka tunailah hutang Allah kerana ia lebih berhak dibayar.”
Riwayat al-Bukhari (6699)

Hujah Pendapat Yang Tidak Mewajibkannya

Antaranya ialah:

Zahir nas tidak menunjukkan kepada orang yang sengaja. Ini kerana istidlal dengan mantuq al-hadis.
Istidlal dengan mafhum al-mukhalafah[1]. Dengan makna kalaulah wajib kepada orang yang lupa dan tidur dengan sebab ada nas maka ketiadaan nas secara mafhumnya tidak diwajibkan.
Ia berdasarkan kaedah:
انتفاء الشرط يستلزم انتفاء المشروط
Maksudnya: “Penafian syarat membawa kepada penafian masyrut yang disyaratkan.”

Sesuatu perintah dengan tunai bukanlah perintah dengan qadha. Ini memberi maksud qadha yang telah luput berhajat kepada perintah yang baru.
Kalaulah qadha menjadi kewajipan ke atas orang yang sengaja sudah tentulah Allah tidak lupa dan rasulnya untuk memberi penerangan benarlah firman Allah SWT:
وَمَا كَانَ رَبُّكَ نَسِيًّا
Maksudnya: Dan tiadalah Tuhanmu itu lupa.
(Surah Maryam: 64)

Tarjih

Setelah diteliti kami lebih cenderung kepada pendapat yang mewajibkannya qadha solat bagi orang yang sengaja meninggalkannya. Ini kerana banyak hujahan yang dikemukakan, antaranya ialah ijma’[2].

Dinukilkan daripada Ibn Qudamah berkata:
لا نعلم بين المسلمين خلافاً في أن تارك الصلاة يجب عليه قضاؤها
Maksudnya: “Kami tidak mengetahui dalam kalangan umat Islam sebarang khilaf[3] bahawa orang yang meninggalkan solat dengan sengaja hendaklah qadha.” Lihat al-Mughni (2/158)

Imam al-Nawawi juga berkata: “Telah ijma’[4] bahawa orang yang meninggalkan solat dengan sengaja wajib qadha.”
Hujah dari segi bahasa: Dalam Lisan al-Arab oleh Ibn Manzur menyebut: “Maksud nisyan (lupa) terbahagi kepada dua pertama dengan makna lupa dan yang kedua dengan makna sengaja meninggalkannya.” Justeru bahasa sendiri juga menunjukkan bahawa wajib qadha berdasarkan kepada makna yang kedua.
Hujahan berkenaan dengan mafhum al-Mukhalafah, maka ia adalah lemah di sisi ulama usul. Dikatakan hanya boleh berhujah dengan mafhum al-Mukhalafah jika menepati enam syarat. Sedangkan jika ternafi satu sahaja maka mereka membatalkan beramal dengan mafhum al-Mukhalafah. Atas asas inilah mereka sepakat untuk tidak beramal dengan mafhum al-Mukhalafahdalam hadis ini. ini kerana tiga syarat telah terbatal iaitu:
Janganlah yang bersifat maskut (didiamkan) itu lebih aula hukum daripada yang mantuq (yang dinyatakan). Contohnya: Memukul ibu bapa adalah harus berbanding dengan haram menyatakan uff.
Janganlah yang bersifat maskut (didiamkan) itu ditinggalkan kerana jahil dengannya. Contoh: Seorang berkata: Nafqah wajib bagi usul dan furu’, sedangkan dia jahil berkenaan hukum nafqah ke atas cabangan seperti adik beradik. Justeru tidak boleh beramal dengan mafhum seperti itu.
Janganlah yang mantuq keluar daripada hukum ghalib. Contoh: Anak tiri jika bukan dibawah jagaannya harus nikahnya melainkan mafhum bukan berkehendak begitu.
Bagi mereka yang meninggalkan solat di samping mengqadhanya hendaklah membanyakkan amalan yang soleh seperti doa, sedekah, istighfar dan taubat.

Kenyataan Mufti Wilayah

Kami melihat isu ini dan juga menekuninya dan mendapati bahawa pendapat jumhur ulama adalah lebih kuat dan lebih tepat serta arjah. Ini kerana pendapat tersebut:

Lebih ahwat atau dari sudut ihtiyatnya lebih baik.
Meraikan pengangan mazhab Syafie di negara kita.
Jika seseorang yang terlupa pun wajib qadha solat maka adalah lebih utama bagi orang yang sengaja untuk mengqadhakan solatnya. Ini dinamakan sebagai Qias Aula.
Sebahagian ulama menukilkan sebagai ijma’[5] seperti Imam al-Nawawi, Imam Ibn Qudamah dan lain-lain. Justeru hujahan ijma’ adalah mempunyai kekuatan yang tersendiri.
Penggunaan kaedah mafhum al-Mukhalafah sepatutnya tidak bercanggah dengan semua syarat-syaratnya. Ini memberi maksud meninggalkan solat secara sengaja lebih aula daripada mantuq dengannya iaitu meninggal solat dengan sebab lupa. Kerana itu qadha adalah wajib bagi yang meninggalkan solat dengan uzur seperti tidur atau lupa yang diangkat qalam dan gugur taklif, maka wajib ke atas yang meninggalkan solat tanpa uzur mim bab al-aula (lebih utama).
Justeru situasi khilaf seperti ini sudah berlaku semenjak zaman salaf lagi sehingga kini. Ia berkisar kepada sudut pandangan pendalilan atau wajh al-Istidlal dalam kalangan fuqaha’ dan ulama usul.

Kami mengingsafi perselisihan yang berlaku antara para ulama ummah ini. Justeru itu kami cuba mengambil sikap untuk mengharmonikan perselisihan yang berlaku. Kami nukilkan di sini daripada kitab Siyar A’laam al-Nubala:

Al-Imam Al Izz Ibn Abd al-Salam Rahimahullah berkata:

“Tidak pernah aku melihat pada kitab-kitab ilmu di dalam Islam ini yang seumpama dengan Al-Muhalla karya Ibn Hazm serta kitab Al-Mughni karya Ibn Qudamah.”

Imam al-Zahabi berkata: “Benar kata-kata Syeikh Izzuddin. Yang ketiganya adalah Sunan al-Kubrakarya Al-Baihaqi dan yang keempatnya adalah al-Tamhid karya Ibn Abd al-Barr.”

فمن حصل هذه الدواوين وكان من أذكياء المفتين وأدمن المطالعة فيها فهو العالم حقا
Maksudnya: “Maka sesiapa yang mendapati karya-karya ini dan dia merupakan antara mufti yang paling bijak serta dia berterusan dalam menelaah kitab-kitab ini maka dialah sebenar-benar orang alim.”

Lihat: Siyar A’laam al-Nubala (18/193).

Alangkah indahnya mauqif dan sifat ulama terdahulu dalam memahami nas dan menyanjungi dalam ruang lingkup kefahaman ilmu masing-masing maka saling hormat menghormati pendapat yang berlawanan tanpa melukakan maruah sementelahan dengan bahasa yang amat tidak sesuai.

Semoga dengan jawapan ini akan memberikan sebuah kelegaan dalam berinteraksi dengan dalil dan nas serta kefahaman yang diasaskan oleh kaedah usuliyyah dan fiqhiyyah.

Kami sejujurnya mengharapkan dengan penjelasan ini akan dapat merungkai isu ini dengan lebih baik. Kami mengakhiri dengan doa:

اَللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّيْنِ وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيْلَ
اَللّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ وَأَرِنَا الْبَاطَلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ

Akhukum Fillah,

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

BACA JUGA:

Menteri Kesihatan membuat lawatan mengejut ke HTAR

Mengejutkan! Papan tanda tulisan Bahasa Melayu diguna di Korea Selatan

Buah-buahan bertaburan memenuhi laluan, lebuh raya menjadi sesak 7km