Kuala Lumpur, lima negeri amaran banjir kilat
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat di lima negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berisiko berlaku kejadian itu dalam tempoh 12 jam bermula 3.30 petang Sabtu.
Lokasi tersebut melibatkan empat daerah di Johor (Kota Tinggi, Mersing, Muar dan Tangkak); Melaka (Alor Gajah dan Melaka Tengah); Negeri Sembilan (Port Dickson); Perak (Batang Padang, Hilir Perak, Perak Tengah dan Kerian); Selangor (Sepang, Petaling dan Kuala Selangor) serta Kuala Lumpur.
PRABN memaklumkan, notis berkenaan dikeluarkan berdasarkan maklumat ramalan hujan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFS) dan model ramalan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Terdapat risiko kejadian banjir kilat di beberapa lokasi sekiranya hujan lebat atau ribut petir yang signifikan berlaku.
“Notis kesiapsiagaan ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang berisiko untuk berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat bagi tempoh tersebut,” menurut kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook JPS pada Sabtu.
Dalam pada itu, JPS turut mengingatkan orang ramai untuk mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir.
BACA JUGA:
Gol kedua Malaysia dibatalkan, tindakan Dae Yong diragui
Teringat zaman kanak-kanak makan aiskrim Malaysia, jom buat aiskrim Malaysia yang gebu
Bolehkah guna tisu basah untuk berwuduk? Ini penjelasan mufti