Nak Berjaya dalam perniagaan online? 3 tips yang boleh dijadikan panduan.
Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu hari ini, ditambah dengan kehilangan pekerjaan lagi, antara jalan keluar yang boleh menyelamatkan keadaan adalah memanfaatkan peluang perniagaan secara atas talian.
Namun, perlu kita akui bahawa berniaga ini bukanlah semudah yang disangkakan. Oleh sebab itu, penting untuk anda mendapatkan ilmu pengetahuan terlebih dahulu berkenaan cara memulakan perniagaan sendiri. Biar kita mula berniaga dengan asas yang kukuh.
Berikut 3 tips berguna yang boleh anda praktikkan.
*1. Tetapkan Matlamat Perniagaan yang Realistik*
Buka sahaja media sosial, kita dihidangkan dengan pelbagai tawaran perniagaan yang menguntungkan. Yang cari ejen, yang tayang kereta, yang tayang wang Ringgit, anda perlu tarik nafas dan bertenang dahulu.
Kalau tidak kita akan jadi rambang mata dan hendak cuba macam-macam bisnes semata-mata hendak mengejar status kaya yang ditayangkan itu.
Tak salah nak jadi kaya, namun awal-awal lagi anda sudah tetapkan matlamat yang kurang tepat. Di saat terdetiknya dalam hati anda buat perniagaan untuk jadi kaya, di situ menandakan anda tidak berfikiran jauh.
Bahasa kasarnya, anda mempunyai minda jenis nak cepat kaya. Minda seperti inilah yang mudah terjerat dengan skim-skim cepat kaya.
Sisi baik terjadinya wabak Covid-19 adalah kita boleh belajar realiti sebenar.
Kepentingan pengurusan kewangan peribadi dan perniagaan sangat berkait rapat. Contohnya, ketika kita dilanda wabak hari ini, apa yang penting atau prioriti bagi kita adalah soal survival. Semangat untuk terus hidup, lagi-lagi dari aspek kewangan.
Oleh itu, kita hanya akan berbelanja pada perkara yang betul-betul penting sahaja bagi memastikan aliran tunai positif. Jika aliran tunai kita positif, lebihan itu kita boleh untuk kegunaan pada waktu kritikal.
*Formula aliran tunai = Pendapatan – Perbelanjaan*
Cara pengurusan kewangan akan diterangkan lebih lanjut dalam poin seterusnya.
Kaitannya dengan perniagaan pula, kita perlu fokus untuk pastikan aliran tunai positif juga. Matlamat utama buat bisnes adalah untuk buat untung. Biar sikit, janji untung. Nak untung, aliran tunai kenalah positif.
Contoh, jumlah kos keseluruhan perniagaan termasuk gaji yang hendak anda ambil adalah RM5,000. Jadi, matlamat jualan yang perlu anda buat adalah lebih daripada itu. Walaupun anda buat jualan RM5,001 sekalipun, itu sudah memadai kerana anda dah untung RM1.
Ingat, yang penting aliran tunai positif. Fasa awal perniagaan ni kita sasarkan nak bertahan sahaja. Kebanyakan guru perniagaan kongsikan fasa survival perniagaan adalah pada tiga tahun pertama. Kalau anda dapat bertahan, yakinlah anda bakal tuai hasil yang lumayan selepas fasa itu.
*2. Memilih motivasi yang betul*
Langit tak selalu cerah, begitu juga halnya dalam perniagaan. Bukan setiap masa kita buat untung atau jualan kita tinggi. Ada masa jualan kita jatuh. Selain adanya lebihan aliran tunai positif yang boleh menampung perniagaan kita waktu jualan merudum, kita juga perlukan motivasi agar terus bersemangat untuk jalankan perniagaan.
Ada orang jadikan rumah yang besar, kereta mewah sebagai motivasi mereka. Namun, motivasi seperti ini tidak kekal lama. Bayangkan anda dah capai segala benda yang anda mahu, sampai satu tahap anda rasa seperti kosong. Jadi, anda pun tetapkan matlamat material yang baru atau lebih mahal untuk kekalkan motivasi anda.
Ini yang dikatakan sebagai motivasi kering, anda dah capai tapi anda tak puas. Lalu anda cari motivasi yang lebih mengghairahkan. Lebih menyedihkan, material yang anda kejar itu menjadi liabiliti kepada anda sehingga merugikan perniagaan anda.
Jikalau boleh, pilihlah motivasi yang mampu beri kepuasan untuk jangka masa panjang. Contohnya, selesaikan hutang, beri sumbangan dalam aktiviti kemasyarakatan, tunaikan umrah atau haji.
Percayalah, perasaan dan pengalaman melakukan motivasi seperti ini lebih memberi satu perasaan yang memuaskan dan menjadikan anda lebih bersemangat nak kembangkan perniagaan anda. Dalam Islam juga menganjurkan untuk kita bantu ahli keluarga terdekat dahulu sebelum bantu orang lain.
Bukankah kita yang paling bahagia apabila melihat ahli keluarga kita sendiri mempunyai status kehidupan yang lebih baik?
*3. Cara menguruskan Kewangan*
Seterusnya, bila kita bicara pasal perancangan kewangan peribadi atau perniagaan, kita tidak boleh lari daripada fakta-fakta penting seperti formula kira-kira.
Kita tidak perlu tahu semua atau benda-benda kompleks untuk jadi hebat. Cukup untuk kita fahamkan benda asas dan praktikkan. Berikut, beberapa formula asas yang perlu anda tahu.
*Asingkan duit peribadi dan perniagaan*
Kebanyakan usahawan baru gagal buat benda ini kerana mereka sangka duit bisnes yang diperoleh adalah duit mereka juga. Simptom yang jelas bagi masalah ini adalah buat jualan dah banyak tapi anda tak nampak pun duit. Jadi, anda pun ulang benda yang sama iaitu cari jualan baru tapi tak nampak hasil.
Masalah lebih teruk apabila hendak bayar cukai. Bila semua dah campur aduk, resit tak simpan, akhirnya anda rasa malas nak bayar cukai. Kalau dah begini, sampai bila-bila perniagaan anda tak berkembang kerana tidak diiktiraf oleh bank disebabkan tidak bayar cukai.
Bagi menyelesaikan masalah ini, anda kena tetapkan siap-siap berapa yang anda hendak ambil sebagai gaji anda. Contoh anda nak ambil RM2,000 sebagai gaji. Walaupun ada lebihan, jangan menggatal untuk usik.
Daftar SSM dan buat akaun bank semasa siap-siap untuk perniagaan. Setiap bulan, asingkan duit gaji anda ke akaun simpanan. Barulah anda nampak duit dalam akaun perniagaan atau semasa anda berkembang sikit demi sikit.
*Formula aliran tunai*
Seperti yang diterangkan di atas, untuk pastikan aliran tunai anda positif, pendapatan perlu lebih besar daripada perbelanjaan.
*Aliran tunai = Pendapatan – Perbelanjaan*
Berdasarkan formula ini, untuk maksimakan keuntungan, anda perlu fikir untuk cara tambah pendapatan dan kurangkan perbelanjaan.
Salah satu cara untuk kurangkan perbelanjaan adalah dengan buat bisnes tanpa modal seperti dropship atau affiliate. Dengan cara ini, anda tidak perlu dahulukan duit untuk beli dan simpan stok. Cukup sekadar anda hebahkan link pembelian, kemudian anda akan mendapat komisyen daripada segala pembelian yang berjaya melalui link anda.
*Formula nilai bersih kekayaan*
Tidak terhenti pada sekadar dapatkan aliran tunai positif sahaja, kita juga perlu pastikan nilai kekayaan atau perniagaan kita juga positif.
*Formula nilai bersih = Aset – Liabiliti*
Dengan memahami formula ini, kita akan cuba elak buat pembiayaan untuk memulakan perniagaan. Ini kerana segala pembiayaan jatuh dalam kategori liabiliti. Selagi mana liabiliti lebih tinggi daripada aset yang anda ada, selagi itulah perniagaan berada dalam keadaan negatif.
Jadi, tidak kira sama ada dalam perniagaan atau urus kewangan peribadi, anda kena tanamkan dalam minda untuk tambah aset yang boleh hasilkan duit. Ingat, buat pembiayaan dalam perniagaan kebiasaannya untuk kembangkan lagi perniagaan. Jadi, kalau baru nak mula, jangan menggatal nak buat pembiayaan.
Benda yang asas ni kalau kita harap betul-betul dan praktikkan, ia pasti memberi impak yang positif dalam hidup kita.
Hal ini tidak terhad kepada mereka yang kehilangan kerja sahaja, malah mereka yang buat kerja dari rumah atau kerja online, mempunyai masa yang lebih fleksibel juga boleh jana pendapatan sampingan melalui bisnes online. Tambahan, perkara ini boleh dijadikan sebagai Pelan B jika berlaku sesuatu yang tidak diingini berlaku seperti kehilangan kerja.
BACA JUGA :
Op Selamat bantu lancarkan lalu lintas, kurangkan kemalangan ketika balik kampung
Sarawak United tak bayar gaji 3 bulan, pemain terpaksa jual kereta dan rumah