Penduduk sedia hadapi banjir, siren amaran berbunyi 2 kali. Siren amaran banjir di Kampung Bantal, dekat Ulu Tembeling, di sini, berbunyi sekurang-kurangnya dua kali susulan peningkatan paras air di Sungai tembeling hari ini.
Berdasarkan maklumat, siren amaran banjir Jabatan Pengairan Saliran (JPS) itu pertama kali berbunyi jam 6.25 petang, sebelum sekali lagi kedengaran pada jam 7.03 malam.
Peningkatan paras air Sungai Tembeling berpunca hujan lebat berterusan di kawasan Ulu Tembeling, sekali gus membimbangkan penduduk yang tinggal berdekatan pesisir sungai itu.
Penduduk Kampung Bantal, Wan Mohd Zakuan Wan Norahan, 36, mengakui rata-rata mereka bersiap sedia untuk berdepan banjir selepas mendengar siren JPS itu bebrunyi.
“Antara punca air naik mendadak disebabkan hujan berterusan menyebabkan paras Sungai Tembeling dan Sungai Sepia naik sehingga melimpahi dataran, kedai, pondok wakaf serta jeti.
“Kebanyakan kedai kopi dan rumah di pesisir sungai dipasang tong pelampung dan penduduk tidak berasa bimbang dengan keselamatan harta benda, kerana bersiap sedia dengan situasi ini,” katanya.
Penduduk Kampung Bantal Seberang, Jasmizan Rashid, 44, pula berkata sebarang aktiviti sungai seperti menangkap ikan dan bot penambang dihentikan buat sementara disebabkan arus deras Sungai Tembeling.
“Pemilik kedai kopi dan kedai runcit turut bersedia menyimpan barang jualan masing-masing sekiranya air sungai semakin naik dan memenuhi kawasan dataran kampung ini,” katanya.
BACA JUGA:
Solat hajat untuk Turkiye, Syria akan dibuat di masjid, surau Wilayah Persekutuan
3 ADUN warisan sokong Hajiji, bertindak keluar parti