PM New Zealand letak jawatan sebelum akhir Februari. Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, berkata beliau tidak akan bertanding mempertahankan jawatan dan merancang meletak jawatan sebelum akhir Februari, dalam kenyataan menerusi televisyen hari ini.
Tambah beliau, penggal jawatannya selaku selaku Perdana Menteri akan berakhir sebelum 7 Februari ini tetapi akan terus berkhidmat sebagai ahli Parlimen sehingga pilihan raya umum (PRU) akan diadakan pada 14 Oktober tahun ini.
Pada mesyuarat tahunan Parti Buruh New Zealand pimpinannya hari ini, Ardern berkata beliau ‘tidak lagi bertenaga untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan’ dan ‘sudah tiba masanya’.
“Saya pergi kerana jawatan istimewa ini datang dengan tanggungjawab tinggi dan kesedaran bahawa anda adalah calon terbaik bagi memimpin.
“Saya tahu apa yang diperlukan untuk jawatan ini dan saya sedar diri bahawa saya tidak mempunyai apa yang diperlukan untuk meneruskan tugas dengan sempurna, itu saja.
“Pada musim panas ini, saya berharap dapat mencari jalan untuk terus berkhidmat bukan saja untuk setahun, sebaliknya bagi satu penggal lagi sebab itu yang perlu saya lakukan.
“Namun, saya tidak dapat melakukannya,” katanya dalam nada penuh emosi ketika membuat kenyataan peletakan jawatannya.
Ardern menjadi ketua negara wanita yang termuda apabila dilantik perdana menteri pada 2017 ketika berusia 37 tahun dan memimpin New Zealand mengharungi pandemik COVID-19 selain beberapa tragedi termasuk serangan pengganas terhadap dua masjid di Christchurch serta letusan gunung berapi White Island.
“Ini adalah tempoh lima setengah tahun yang amat memuaskan hati dengan cabarannya tersendiri, antaranya kemiskinan kanak-kanak, perubahan iklim, keganasan dalam negara, bencana alam, pandemik global serta krisis ekonomi,” kata Ardern.
Beliau juga percaya Parti Buruh New Zealand akan memenangi PRU akan datang dan menambah bahawa pemilihan pemimpin parti seterusnya akan diadakan Ahad ini.
Timbalan Perdana Menteri New Zealand, Grant Robertson, yang juga Menteri Kewangan, dalam satu kenyataan, berkata beliau tidak akan bertanding untuk jawatan tertinggi Parti Buruh itu.
Parti Buruh kini mempunyai tujuh hari bagi menentukan sama ada terdapat calon pemimpin baharu yang mendapat sokongan lebih dua pertiga pucuk pimpinan tertinggi parti bagi menjadi ketua dan perdana menteri.
Undian akan diadakan dalam tempoh tiga hari iaitu pada 22 Januari ini dan sekiranya tiada yang berjaya meraih sokongan ditetapkan, jawatan utama parti akan ditentukan menerusi undian oleh keseluruhan anggota Parti Buruh.
BACA JUGA :
Sarawak bakal bina satu lagi Muzium Budaya Borneo di Bintulu
Menteri Komunikasi dan Digital berpendapat, trailer filem Pulau tidak sesuai ditayangkan