Projek rundingan tetap diteruskan, dengan syarat kata Loke

Projek rundingan tetap diteruskan, dengan syarat kata Loke. Projek yang telah dianugerahkan surat penerimaan (SST) tidak akan dibatalkan, walaupun ia dilakukan secara rundingan terus, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata ia adalah dasar kerajaan sedia ada dan memberi jaminan projek penting dan kritikal yang memerlukan tindakan segera tidak akan dibatalkan.

“Apabila kerajaan sekarang mengambil alih, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan mengarahkan mana-mana projek yang belum mendapat SST hendaklah diperoleh secara tender.

“Jika projek itu telah diluluskan secara rundingan terus, ia perlu ditender semula,” katanya pada sidang media selepas program pemerkasaan sistem pengurusan keselamatan lalu lintas jalan raya di sini hari ini.

Pada 20 Dis lalu, media melaporkan Kementerian Pengangkutan bersetuju untuk mengkaji semula lima projek pembangunan membabitkan nilai kontrak keseluruhan hampir RM650 juta yang akan dilaksanakan secara tender terbuka atau terhad.

Loke berkata, lima projek terbabit telah diluluskan untuk perolehan melalui rundingan terus tetapi surat penerimaan masih belum dikeluarkan.

Dalam perkembangan lain berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Loke menjelaskan jumlah penjimatan kos pembangunan (TDC) sebanyak RM11.01 bilion adalah hasil daripada dua rundingan yang dijalankan sejak 2018.

Katanya, ECRL 3.0 (projek ECRL terbaharu) bernilai RM74.96 bilion, terdiri daripada kos pembinaan RM50.27 bilion, manakala kos lain termasuk faedah semasa pembinaan (IDC) dan kos pengambilan tanah berjumlah RM24.69 bilion.

Terdahulu, Anwar dilaporkan berkata ECRL akan diteruskan dengan pengurangan kos sebanyak RM11.01 bilion berbanding jumlah kos asal RM85.97 bilion yang diluluskan pada 2016.

Beliau berkata jumlah kos projek itu dikurangkan walaupun terdapat permohonan kos tambahan berikutan penjajaran semula baharu dan projek itu masih tertakluk kepada perjanjian lama.

BACA JUGA:

Bersambung Jumaat, pencarian akhir di tanah runtuh Batang Kali

Taja RM1.1 juta naik taraf pameran orang utan Borneo di Zoo Negara, MPOGCF pupuk kesedaran pemuliharaan hidupan liar

Prakash didakwa menipu wanita, yang juga Penolong Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hingga kerugian sebanyak lebih RM500k