Proton bakal hentikan tempahan, ini puncanya. Proton Holdings Bhd (PROTON) akan mengambil kira jumlah tempahan sedia ada dan diterima sebelum 30 Jun bagi memastikan ia berupaya mendaftar dan menyerahkan semua model termasuk produk terlarisnya, Proton X50 dapat dibuat sebelum 1 April 2023.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Abdullah, berkata bagi mengelakkan sebarang isu, PROTON akan berhenti menerima tempahan sekiranya model tertentu telah mencapai had keupayaan pengeluarannya sehingga 31 Mac 2023.
Ia bagi mengelak sebarang penyerahan tempah melepas tarikh akhir berkenaan.
“Langkah itu dilaksanakan pengeluar kereta nasional bagi membolehkan pelanggannya menerima model yang dimahukan seterusnya menikmati insentif pengecualian cukai jualan,” katanya kepada BH.
Roslan berkata, secara umumnya tempoh menunggu bagi model Proton adalah sekitar dua bulan bagi model Proton X70, Persona, Iriz, Exora dan Saga tertakluk kepada pilihan warna dan varian.
“Bagi Proton X50 pula, ia akan mengambil masa lebih kurang 6 bulan dan juga tertakluk kepada pilihan warna dan varian,” katanya.
Mengulas mengenai kelayakan pembeli untuk mendapat manfaat pengecualian cukai, beliau menjelaskan, bakal pelanggan boleh membuat tempahan iaitu wang yang dibayar sebagai deposit di pusat jualan yang dilantik atau cawangan Proton.
“Bagi syarikat menjual kenderaan, pelanggan yang telah membayar yuran tempahan akan terus layak untuk memasuki ‘queue’ bagi membeli kereta baru. Bagaimanapun, transaksi membeli kereta adalah tertakluk kepada terma dan syarat, terutama sekali kelulusan pinjaman bank dan oleh itu, bukan semua tempahan bakal menjadi jualan.
“Bagi Proton, yuran tempahan untuk setiap model adalah antara RM500 hingga RM1,000.
“Justeru, bagi pembeli yang ingin menikmati insentif pengecualian cukai, tempahan perlu dibuat sebelum 1 Julai 2022 manakala pendaftaran kenderaan perlulah dilakukan sebelum 1 April 2023,” katanya.
BACA:
Anak kucing seperti pakai topeng Zorro curi tumpuan ramai
Krisis rumahtangga Syamsul Yusof hanya gimik lariskan filem ‘Mat Kilau’?