SUKAN: CR7 belum temui sasaran di Al-Nassr.
Cristiano Ronaldo masih belum menemui sasaran di Al-Nassr selepas mengharungi perlawanan keduanya bersama kelab Arab Saudi itu.
Ronaldo juga terlepas peluang untuk menjulang trofi pertamanya bersama kelab baharunya itu selepas tersingkir di separuh akhir Piala Super dengan kekalahan 3-1 kepada Al-Ittihad.
Bekas bintang Manchester United berusia 37 tahun itu, bermula cemerlang di bumi Arab apabila meledak dua gol ketika mewakili pasukan pilihan Riyadh menentang skuad diterajui Lionel Messi, Paris Saint-Germain.
Dia turut dinobatkan pemain terbaik perlawanan walaupun pasukannya tewas 5-4 kepada pasukan gergasi Perancis itu.
Bagaimanapun permulaan kariernya bersama Al-Nassr tidak seperti diharapkan. Dia gagal melakukan sebarang percubaan tepat ketika pasukannya menewaskan Ettifaq 1-0 Ahad lalu.
Dia sekali lagi gagal menemui sasaran ketika pasukannya tersingkir daripada Piala Super Saudi, dengan hanya tiga percubaan tepat walaupun menguasai 64 peratus permainan.
Tuan rumah mendahului 2-0 sebelum rehat dan rakan senegara Ronaldo dari Portugal, Talisca merapatkan jurang untuk Al-Nassr di babak kedua.
Al-Nassr gagal mencari gol penyamaan, sebaliknya Al-Ittihad meledak gol ketiga mereka untuk memastikan kemenangan dan kemaraan ke final Ahad ini.
Namun Ronaldo masih berpeluang memburu trofi pertama dengan Al-Nassr kini mendahului Liga Pro Saudi.
Al-Nassr dijangka akan terus berbelanja besar untuk mendapatkan pemain ternama, antaranya bekas rakan sepasukan Ronaldo di Real Madrid, Sergio Ramos dan Luka Modric.
Eden Hazard dan pemain Borussia Dortmund, Marco Reus juga dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Arab Saudi itu.
Sementara itu penggantinya di Manchester United, Wout Weghorst mengharungi permulaan cemerlang sebagai pemain pinjaman kelab itu.
Dia meledak gol pertamanya ketika aksi separuh akhir Pertama Piala Liga di Nottingham Forest.
“Weghorst menjaringkan lebih banyak gol berbanding Ronaldo pada tahun 2023. Weghorst bermain di liga terbaik dunia manakala Ronaldo bermain di Saudi,” kata salah seorang peminat.
BACA JUGA :
Hadapi Islamofobia dengan akhlak yang baik, bantah secara aman
Bot dinaiki terbalik di Krabi, dua rakyat Malaysia terkorban
Kerajaan arahkan tukar nama kad “Touch ‘n Go” kepada jenama lain untuk elak kekeliruan fungsi kad