Tidak familiar dengan istilah tabarruk, tetapi selalu dibuat, apa kata mufti

Tidak familiar dengan istilah tabarruk, tetapi selalu dibuat, apa kata mufti.
IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-730: AMALAN MENGAMBIL BERKAT(TABARRUK) MENURUT ISLAM

Soalan:

Assalamualaikum wbt. Saya nak tanya berkenaan apakah status sebenar amalan mengambil berkat (tabarruk). Seringkali isu ini diperdebatkan oleh pihak yang mendokong dan menentang amalan ini setiap kali timbul isu yang berkaitan.

Contohnya sebelum ini viral sekumpulan anak muda pergi ke sebuah kawasan yang dikatakan terdapat maqam orang soleh untuk bertabaruk. Mohon penjelasan tuan mufti berkenaan isu tabarruk ini, adakah ia dibenarkan atau tidak? Terima kasih.

Ringkasan Jawapan:

Jumhur ulama dari kalangan mazhab yang empat mengharuskan amalan bertabarruk dan ada juga sebahagian ulama lain yang tidak mengahruskannya.

Bagi ulama yang mengharuskan terdapat batas-batas yang perlu dipatuhi seperti iktikad terhadap Allah SWT dan bukannya terhadap barang atau individu, serta tidak meletakkan kaifiat-kaifiat tertentu yang tiada asas dalil.

Bertabarruk adalah bersifat peribadi dan tidak seharusnya memuat naik gambar atau video di media sosial, kerana boleh mengundang fitnah kepada mereka yang tidak memahaminya.Berpada-pada dalam melakukan sesuatu perkara adalah amalan yang terbaik.

Huraian Jawapan:

Pengertian Tabaruk:

Barakah dari sudut Bahasa bermaksud tetapnya kebaikan daripada Allah SWT pada sesuatu. Mengambil berkat (التبرك بالشئ) pula bermaksud: mengharapkan berkat daripada Allah SWT dengan perantara sesuatu[1].

Setiap orang Islam perlu memahami bahawa keberkatan itu datangnya dari Allah SWT. Keberkatan tidak datang dari mana-mana benda atau individu.

Dalam al-Quran Allah SWT berfirman:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم

بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ ‎﴿٩٦﴾‏

Maksudnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.

Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

(Surah al-A’raf: 96)

Raghib al-Asfahani berkata: dinamakan berkat kerana kebaikannya yang tetap pada perkara yang diberkati seumpama tetapnya air dalam bekas (البِرْكَة)[2].

Hukum Bertabaruk Dengan Orang-Orang Soleh:

Terdapat perbezaan pandangan ulama mengenai hukum bertabaruk dengan orang salih. Sebahagian ulama berpandangan bahawa hukumnya adalah harus manakala sebahagian lagi tidak membenarkannya.

Jumhur ulama dalam kalangan ulama empat mazhab membenarkan untuk bertabaruk dengan orang soleh[3]. Perbahasan mengenai bertabaruk dengan orang soleh dibincangkan pada pelbagai bab dalam kitab fikah.

Dalil-dalil keharusan bertabaruk dengan orang-orang soleh:

1. Al-Quran:

وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ آيَةَ مُلْكِهِ أَن يَأْتِيَكُمُ التَّابُوتُ فِيهِ سَكِينَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَبَقِيَّةٌ مِّمَّا تَرَكَ آلُ مُوسَىٰ وَآلُ هَارُونَ تَحْمِلُهُ الْمَلَائِكَةُ ۚ

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لَّكُمْ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ‎﴿٢٤٨﴾‏

Maksudnya: “Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: “Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman”.

(Surah al-Baqarah: 248)

Dalam kitab al-Futuhat al-Ilahiyyah disebutkan bahawa Bani Israel memiliki sebuah bekas yang akan diletakkan di hadapan mereka ketika mereka ingin berperang. Mereka mengharapkan kemenangan melaluinya. Dalam bekas tersebut mengandungi antaranya serban Nabi Harun AS dan selipar serta tongkat Nabi Musa AS.[4].

2. Hadis:

أنَّ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ كانَ يُؤْتَى بالصِّبْيانِ فيُبَرِّكُ عليهم ويُحَنِّكُهُمْ، فَأُتِيَ بصَبِيٍّ فَبالَ عليه، فَدَعا بماءٍ، فأتْبَعَهُ بَوْلَهُ ولَمْ يَغْسِلْهُ

Maksudnya: “Beberapa orang bayi dibawa kepada Baginda lalu Nabi mendoakan keberkatan dan mentahnikkan mereka. Kemudian seorang bayi dibawa kepada Nabi lalu bayi itu terkencing (di atas riba Nabi SAW). Nabi meminta air lalu Nabi membersihkan kencing tersebut tanpa membasuhnya.”

(Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi ketika menjelaskan makna hadis ini berkata:

وفي هذا الحديث فوائد: منها تحنيك المولود عند ولادته وهو سنة بالإجماع كما سبق. ومنها أن يحنكه صالح من رجل أو امرأة. ومنها التبرك بآثار الصالحين وريقهم وكل شيء منهم

Maksudnya: “Pada hadis ini terdapat beberapa pengajaran, antaranya: mentahnikkan kanak-kanak yang baru lahir dan ia merupakan suatu yang disunatkan berdasarkan ijmak para ulama, antaranya lagi metahnikkan oleh seorang yang salih sama ada lelaki atau perempuan dan juga mengambil berkat dengan peninggalan, air liur atau apa sahaja daripada orang-orang yang soleh.”

Antara hujah yang lain, iaitu satu riwayat hadis yang berbunyi:

كَانَ يَنْفُثُ عَلَى نَفْسِهِ فِي الْمَرَضِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ بِالْمُعَوِّذَاتِ، فَلَمَّا ثَقُلَ كُنْتُ أَنْفُثُ عَلَيْهِ بِهِنَّ وَأَمْسَحُ بِيَدِ نَفْسِهِ لِبَرَكَتِهَا

Maksudnya: “Nabi SAW mengubati dirinya Ketika baginda sakit yang menyebabkan baginda wafat dengan membaca muawwizat(surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas). Manakala ketika Nabi SAW dalam keadaan gering aku membacakan muawwizat dan meniupkannya serta menyapu dengan tangan Baginda kerana keberkatannya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Ibn Hajar al-Asqalani menerangkan bahawa hadis ini menunjukkan keharusan bertabaruk dengan orang yang soleh begitu juga dengan seluruh anggotanya khususnya tangan yang kanan[5]. Dalam sebuah riwayat yang lain disebutkan bahawa:

أَنَّ أَبَا بَكْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ لَمَّا اسْتُخْلِفَ كَتَبَ لَهُ، وَكَانَ نَقْشُ الْخَاتَمِ ثَلَاثَةَ أَسْطُرٍ مُحَمَّدٌ سَطْرٌ، وَرَسُولُ سَطْرٌ، وَاللهِ سَطْرٌ

Maksudnya: “Ketika Abu Bakar RA dilantik sebagai khalifah beliau menulis surat mengenai kadar zakat, adalah ukiran cincin memiliki tiga baris Muhammad sebaris, Rasul sebaris dan Allah sebaris.”

(Riwayat al-Bukhari)

Ibn Hajar al-Asqalani dalam hal ini juga berkata:

وفيه استعمال آثار الصالحين ولباس ملابسهم على جهة التبرك والتيمن بها

Maksudnya: “Hadis ini menunjukkan keharusan menggunakan peninggalan atau memakai pakaian orang salih untuk tujuan tabaruk dan mengambil kebaikan daripadanya[6].”

3. Amalan para ulama:

Dalam kitab-kitab berkait biografi ulama terdapat beberapa kisah yang menunjukkan pengamalan ulama dalam bab bertabaruk dengan orang soleh.

Kisah pertama:

Imam Khatib al-Baghdadi meriwayatkan bahawa Imam al-Syafii berkata; Aku akan bertabaruk dengan Abu Hanifah dan pergi ke kuburnya pada setiap hari. Jika aku memiliki hajat aku akan solat dua rakaat lalu mendatangi kubur Imam Abu Hanifah dan aku akan meminta kepada Allah hajatku, tidak lama kemudian aku mendapati hajat aku telah tertunai[7].

Kisah kedua:

Imam al-Zahabi ketika menyebutkan mengenai Saiyidah Nafisah beliau berkata:

وَالدُّعَاءُ مُسْتَجَابٌ عِنْدَ قَبْرِهَا بَلْ وَعِنْدَ قُبُورِ الأَنْبِيَاءِ وَالصَّالِحِينَ وفي الْمَسَاجِدِ وَعَرَفَةَ وَمُزْدَلِفَةَ وَفي السَّفَرِ الْمُبَاحِ

Maksudnya: “Doa mustajab di sisi kuburnya bahkan di sisi kubur para Nabi, orang salih, Masjid, arafah, muzdalifah dan ketika musafir yang bukan tujuan maksiat[8]”

Kisah ketiga:

Imam Ibn Subki meletakkan pipinya di atas hamparan yang pernah Imam al-Nawawi duduk mengajar di atasnya lalu bersyair:

وَفِي دَار الحَدِيث لطيف معنى … على بسط لَهَا أصبو وآوي

عَسى أَنِّي أمس بَحر وَجْهي … مَكَانا مَسّه قدم النواوي

Maksudnya:

Di dalam Darul Hadis itu terdapat makna yang mendalam

di atas hamparannya aku pergi dan menuju

semoga pipiku dapat menyentuh

kawasan yang pernah dipijak oleh al-Nawawi[9].

Kisah keempat:

Suatu hari Imam al-Syafii mengutus surat kepada Imam Ahmad melalui muridnya Rabi’. Apabila Imam Ahmad menerima surat tersebut beliau menangis. Rabi’ bertanya kepadanya mengapa beliau menangis. Beliau berkata: “Imam al-Syafii bermimpi bahawa aku akan diuji oleh Allah.” Kemudian Imam Ahmad menanggalkan pakaian yang dipakainya dan menyerahkan kepada Rabi’ untuk diberikan kepada Imam al-Syafii. Apabila Imam al-Syafii menerimanya beliau berkata: “Rendamkan pakaian itu kerana aku ingin mengambil keberkatan darinya[10].”

Manakala sebahagian ulama lain yang melarang seperti Ibn Taymiyyah, Ibnu Qayyim al Jawziyyah, Ibnu Rajab al Hanbali dan al-Shatibi berpandangan seperti berikut:

1. Tabarruk adalah khusus untuk baginda Nabi SAW.

Dalam hal ini Imam al-Syatibi berkata bahawa Nabi itu ialah cahaya pada zahir dan batin oleh itu siapa yang menginginkan cahaya dari Nabi SAW dia akan mendapatinya dari mana-mana bahagian dari jasad Nabi SAW. Adapun selain daripada Nabi, sekalipun dia memperolehi cahaya hidayah Nabi SAW dengan mengikuti baginda namun mereka masih tidak akan sampai pada kedudukan Nabi SAW. Antara bentuk pengkhususan hanya bagi Nabi ialah Nabi SAW dibenarkan untuk berkahwin lebih dari empat[11].

2. Sahabat dan Salaf tidak pernah melakukannya.

Menurut Ibn Rajab al-Hanbali sekalipun sahabat bertabaruk barang peninggalan Nabi SAW namun mereka tidak bertabaruk sesama mereka. Selain itu, tabiin juga tidak pula bertabaruk dengan sahabat walaupun sahabat memiliki kedudukan yang mulia[12]. Manakala Imam al-Syatibi pula menyebutkan bahawa di zaman Saidina Abu Bakar yang merupakan sahabat yang paling afdal, tidak ada dalam kalangan mereka yang bertabaruk dengan beliau. Begitu juga dengan khulafa ar-rasyidin yang lain seumpama Saidina Omar, Saidina Usman dan Saidina Ali[13].

3. Tabarruk dengan orang salih boleh membawa kepada menyembah orang salih.

Imam al-Syatibi berkata bahawa sekalipun sebahagian tidak mengkhususkannya bagi Nabi namun mereka melarang untuk mengambil berkat dari selain Nabi kerana ia akan membawa kepada melampaui batas sehingga penyembahan sesama makhluk. Di sisi Imam al-Syatibi mengambil berkat termasuk dalam asal ibadat. Beliau kemudian memberikan contoh bagaimana Saidina Omar pernah memerintahkan untuk memotong pokok yang sahabat berbaiah dengan Nabi dalam peristiwa perjanjian Hudaibiyah kerana dikhuatiri orang ramai akan menyembahnya.

Dalam kitab Zail Tarikh al-Tabari dihikayatkan bahawa pengikut al-Halaj melampau dalam mengagungkannya sehingga meengambil berkat dari najis al-Halaj dan bahkan mendakwa al-Halaj sebagai Tuhan[14].

Imam Ibn Taimiyyah ketika menerangkan berkenaan mengambil berkat dengan orang salih berkata:

وَقَوْلُ الْقَائِلِ: أَنَا فِي بَرَكَةِ فُلَانٍ وَتَحْتَ نَظَرِهِ إنْ أَرَادَ بِذَلِكَ أَنَّ نَظَرَهُ وَبَرَكَتَهُ مُسْتَقِلَّةٌ بِتَحْصِيلِ الْمَصَالِحِ، وَدَفْعِ الْمَضَارِّ، فَكَذَبَ وَإِنْ أَرَادَ أَنَّ فُلَانًا دَعَا لِي فَانْتَفَعْت بِدُعَائِهِ، أَوْ أَنَّهُ عَلَّمَنِي وَأَدَّبَنِي فَأَنَا فِي بَرَكَةِ مَا انْتَفَعْت بِهِ مِنْ تَعْلِيمِهِ وَتَأْدِيبِهِ فَصَحِيحٌ. وَإِنْ أَرَادَ بِذَلِكَ أَنَّهُ بَعْدَ مَوْتِهِ يَجْلِبُ الْمَنَافِعَ، وَيَدْفَعُ الْمَضَارَّ، أَوْ مُجَرَّدُ صَلَاحِهِ وَدِينِهِ وَقُرْبِهِ مِنْ اللَّهِ يَنْفَعُنِي مِنْ غَيْرِ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَكَذَبَ.

Maksudnya: “Perkataan ‘saya pada keberkatan fulan dan di bawah penjagaannya’ jika diinginkan dengan makna penjagaan dan keberkatan yang terasing dengan makna boleh mendatangkan kebaikan dan kemudaratan maka ia adalah perkataan yang dusta. Namun jika dimaksudkan fulan mendoakanku dan aku mendapat manfaat dengan doanya atau dia mengajarkan aku dan aku mendapat keberkatan dengan apa yang dia ajarkan kepada aku maka perkataan ini adalah benar. Jika yang dimaksudkan selepas seseorang mati dia boleh memberikan manfaat dan menolak kemudaratan atau semata-mata dengan kesolehannya, keagamaannya dan dekatnya hubungannya dengan Allah maka dia memberikan manfaat kepadaku tanpa aku mentaati Allah maka ini adalah dusta[15].”

Batasan Khurafat dan Tabarruk:

Pada asasnya hendaklah ditegaskan bahawa seseorang mestilah beriman bahawa Allah SWT Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan tidak berlaku di dalam dunia ini kecuali dengan qudrah dan iradah(kehendak) Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: “Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Ia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-An’am: 17)

Manakala makhluk pula tidak mempunyai kuasa dan kudrat untuk memberi kesan kepada sesuatu apa pun melainkan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT. Hal ini sepertimana api tiada kuasa untuk membakar, makanan tiada kuasa untuk memberi kenyang dan seumpamanya kecuali semuanya itu berlaku dengan izin dan kehendak Allah SWT. Imam al-Dardir dalam syarah Kharidahnya menjelaskan bahawa:

وعلم أيضا أنّه لا تأثير للأمور العاديّة في الأمور التي اقترنت بها، فلا التأثير للنار في الإحراق ولا للطعام في الشبع ولا للماء في الري ولا في إنبات الزرع ولا للكواكب في إنضاج الفواكه وغيرها ولا للأفلاك في شيء من الأشياء ولا للسكِّين في القطع ولا لشيء لدفع حرّ أو برد أو جلبهما أو غير ذلك، لا بالطبع ولا بالعلّة لا بقوّة أودعها الله فيها، بل التأثير في ذلك لله تعالى وحده بمحض اختياره عند وجود هذه الأشياء.

Maksudnya: “Dapat difahami bahawa tidak ada yang memberi kesan bagi perkara yang bersifat adat dengan perkara berkait dengannya. Hal ini seperti tiada kuasa bagi api untuk membakar, makanan untuk memberi kenyang, air untuk menghilangkan dahaga dan menumbuhkan tumbuhan, bintang-bintang untuk menumbuhkan buah-buahan dan lain-lain. Begitu pula tiada kuasa bagi cakerawala untuk memberi kesan kepada satu pun daripada perkara tersebut. Juga tiada kuasa bagi pisau untuk memotong, tiada kuasa bagi sesuatu pun yang dapat menghalang kesejukan dan kepanasan atau mendapatkan kedua-duanya atau selain daripada itu. Kesemua itu tiada kuasa bagi mereka sama ada dengan tabiat, ‘illah atau upaya yang Allah SWT letakkan padanya. Bahkan kesemua kesan itu hanya daripada Allah SWT dengan semata-mata pilihan-Nya yang menentukan wujudnya perkara-perkara tersebut.[16]”

Oleh yang demikian, kepercayaan bahawa sesuatu selain daripada Allah SWT dapat memberi kesan sama ada manfaat atau mudarat adalah batil. Ini dapat dilihat dalam hadis yang diriwayatkan Imam Muslim bahawa Saidina Umar al-Khattab RA pernah menyebutkan bahawa:

إِنِّى لأُقَبِّلُكَ وَإِنِّى أَعْلَمُ أَنَّكَ حَجَرٌ وَأَنَّكَ لاَ تَضُرُّ وَلاَ تَنْفَعُ وَلَوْلاَ أَنِّى رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَبَّلَكَ مَا قَبَّلْتُكَ

Maksudnya: Sesungguhnya aku mencium-mu (Hajarul Aswad) dalam keadaan aku mengetahui bahawa kamu hanyalah sebiji batu yang tidak memberi mudarat dan manfaat. Jika aku tidak melihat Rasulullah SAW mencium-mu, maka sudah tentu aku tidak akan mencium-mu.

(Riwayat Muslim)

Dalam hadis ini jelas bahawa Umar al-Khattab RA tidak menganggap bahawa Hajarul Aswad itu boleh memberikan kesan sama ada manfaat atau mudarat, bahkan beliau melakukannya dengan tujuan memberitahu orang yang berada di sekelilingnya bahawa beliau hanya mengikut sunnah Rasulullah SAW dan bukan mengagungkan batu tersebut.[17]

Syeikh Ali al-Jumuah dalam kitabnya berkata bahawa perbuatan tabarruk adalah harus dilakukan dengan iktiqad bahawa tiada apa-apa kuasa kebergantungan selain daripada Allah SWT. Jika demikian maka tidak mengapa perbuatan tabarruk tersebut kerana selari dengan hukum alam di mana semua perbuatan dan hasil sesuatu kejadian merupakan sebab dan akibat daripada Allah SWT.[18] Ini secara tidak langsung bermaksud tabarruk yang disertai iktiqad bahawa perbuatan ini paling mujarab atau tempat-tempat tertentu yang mampu memberi kesan kepada sesuatu hasil yang hajat maka ia dilarang.

Justeru diringkaskan antara batas-batas lain yang perlu diperhalusi ketika melakukan amalan bertabarruk adalah seperti berikut:

Tidak meletakkan iktiqad bahawa ada kekuatan lain yang boleh membantu kita selain Allah SWT
Tidak meletakkan kaifiyat-kaifiyat tertentu yang tiada asas dalam dalil seperti apa yang perlu dilakukan ketika melawat tempat tersebut, atau menetapkan tarikh khusus
Tidak berlebih-lebihan dalam perbuatan ibadah atau tabaruk seperti memuat naik gambar ke dalam media sosial.
Mengutamakan mengambil faedah daripada warisan dan tinggalan orang soleh berupa ilmu dengan menelaah hasil-hasil karya mereka atau meneladani kehidupan melalui kisah-kisah hidup mereka.

Kesimpulan:

Kesimpulannya, setiap perbuatan bertabaruk dengan sesuatu hendaklah disertai dengan keimanan bahawa tiada apa yang dapat memberi manfaat atau mudarat selain Allah SWT dan kepada-Nya sahaja kita berharap dan memohon pertolongan. Ulama yang mengharuskan amalan tabaruk ini juga bahkan mensyaratkan bahawa mestilah perbuatan bertabaruk tersebut aman dari fitnah. Imam Ibn Hajar al-Asqalani ketika menjelaskan mengenai hadis seorang sahabat bernama Itban bin Malik yang menjemput Nabi SAW untuk solat di rumahnya berkata:

ويستفاد منه أن من دعي من الصالحين ليتبرك به أنه يجيب إذا أمن الفتنة

Maksudnya: “Difahami dari hadis ini bahawa orang salih yang dijemput boleh memenuhi undangan tersebut jika aman dari fitnah[19].”

Ibn Hajar al-Asqalani dalam hal ini jelas mensyaratkan perbuatan tabarruk itu mestilah tidak mendatangkan fitnah. Imam al-Syarwani yang merupakan ulama besar mazhab Syafii menjelaskan bahawa hendaklah orang yang menjadi ikutan orang ramai supaya tidak melakukan perbuatan seperti mencium kubur wali di hadapan orang jahil yang tidak dapat membezakan antara memuja dan mengambil berkat[20].

Oleh itu, kami menasihati orang ramai supaya tidak melampau-lampau dalam mengambil berkat sehingga boleh mendatangkan fitnah. Selain itu orang ramai perlu menjauhi kepercayaan yang boleh mensyirikkan Allah SWT seperti mempercayai bahawa sesuatu perbuatan itu boleh memberi manfaat atau mudarat di samping meninggalkan kepercayaan-kepercayaan khurafat dan tidak berasas. Wallahua’lam.

[1] Syeikh Yusuf, Al-Mausuaah al-Yusufiyyah, Dimasyq: Dar al-Taqwa, hlm. 161.

[2] Raghib al-Asfahani, al-Mufradat fi Gharib al-Quran, Dimasq: Dar al-Qalam, jld. 119 .

قال الراغب: “البركة هي ثبوت الخير الألهي في الشيء”. قال تعالى: ﴿ وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ

[3] Abdul Fatah bin Salih al-Yafie, al-Tabaruk bi al-Salihin baina al-Mujizin wa al-Manien, Beirut: Muasasah al-Risalah (2010), hlm. 67.

[4] Syeikh Jamal, Al-Futuhat al-Ilahiyyah bi Taudhih Tafsir al-Jalalain, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, jld. 1, hlm. 304.

«إن آية ملكه أن يأتيكم التابوت» الصندوق كان فيه صور الأنبياء أنزله الله على آدم واستمر إليهم فغلبهم العمالقة عليه وأخذوه وكانوا يستفتحون به على عدوهم ويقدمونه في القتال ويسكنون إليه كما قال تعالى «فيه سكينة» طمأنينة لقلوبكم «من ربكم وبقية مما ترك آل موسى وآل هارون» أي تركاه هما، وهي نعلا موسى وعصاه وعمامة هارون وقفيز من المن الذي كان ينزل عليهم ورضاض من الألواح

[5] Ibn Hajar al-Asqallani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, Beirut: Dar al-Kitab al-Islami (1993), jld. 10, hlm. 330.

وفي الحديث التبرك بالرجل الصالح وسائر أعضائه وخصوصا اليد اليمنى

[6] Ibid.

[7] Khatib al-Baghdadi, Tarikh al-Baghdad, Beirut: Dar al-Gharb al-Islami, jld.1, hl. 445.

كَانَ سَيِّدُنَا مُحَمَّدُ بْنُ إِدْرِيسَ الشَّافِعيُّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ يَقُولُ إِنِّي لأَتَبَرَّكُ بِأَبي حَنِيفَةَ وَأَجِيءُ إِلى قَبْرِهِ في كُلِّ يَوْمٍ فَإِذَا عَرَضَتْ لي حَاجَةٌ صَلَّيْتُ رَكْعَتَيْنِ وَجِئْتُ إِلى قَبْرِهِ وَسَأَلْتُ اللهَ تَعَالى الْحَاجَةَ عِنْدَهُ فَمَا تَبْعُدُ عَنِّي حَتَّى تُقْضَى

[8] Imam al-Zahabi, Siar al-A’lam al-Nubala’, Beirut: Dar al-Risalah, jld. 10, hlm. 107.

[9] Imam al-Subki, Tobaqat al-Syafiiyah al-Kubra, Saudi: Dar al-Hijr li Nasyr wa Tauzi’, jld. 8, hlm. 396.

[10] Ibid.

قَالَ الرَّبيعُ بْنُ سُلَيْمَانَ إِنَّ الشَّافِعِيَّ رضيَ اللهُ عَنْهُ خَرَجَ إِلى مِصْرَ فَقَالَ لي يَا رَبِيعُ خُذْ كِتَابي هَذَا فَامْضِ بِهِ وَسَلِّمْهُ إِلى أَبي عَبْدِ اللهِ (يَعْنِي الإمامَ أَحْمَدَ) وَائتِنِي بِالْجَوَابِ، قَالَ الرَّبيعُ فدَخَلْتُ بَغْدَادَ وَمَعِي الْكِتَابُ فَصَادَفْتُ أَحْمَدَ بْنَ حَنْبَلٍ في صَلاةِ الصُّبْحِ فَلَمَّا انْتَقَلَ مِنَ الْمِحْرَابِ سَلَّمْتُ إِلَيْهِ الْكِتَابَ وَقُلْتُ هَذَا كِتَابُ أَخِيكَ الشَّافِعِيِّ مِنْ مِصْرَ.

فَقَالَ لي أَحْمَدُ نَظَرْتَ فِيهِ؟ فَقُلْتُ لا، فَكَسَرَ الْخَتْمَ وَقَرَأَهُ وَتَغَرْغَرَتْ عَيْنَاهُ، فَقُلْتُ لَهُ أَيْشٍ فِيهِ يَا أَبَا عَبْدِ اللهِ؟ فَقَالَ يَذْكُرُ فِيهِ أَنَّهُ رَأَى رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ في النَّوْمِ فَقَالَ لَهُ اكْتُبْ إِلى أَبي عَبْدِ اللهِ وَاقرأ عَلَيْهِ السَّلامَ وَقُلْ لَهُ إِنَّكَ سَتُمْتَحَنُ فَلا تُجِبْهُمْ فَيَرْفَعُ اللهُ لَكَ عَلَمًا إِلى يَوْمَ الْقِيامَةِ.

قَالَ الرَّبِيعُ فَقُلْتُ لَهُ الْبِشَارَةَ يا أَبَا عَبْدِ اللهِ، فَخَلَعَ أَحَمدَ قَمِيصَيْهِ الَّذِي يَلِي جِلْدَهُ فَأَعْطَانِيهِ، فَأَخَذْتُ الْجَوَابَ وَخَرَجْتُ إِلى مِصْرَ وَسَلَّمْتُهُ إِلى الشَّافِعِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ.

فقالَ أَيْشٍ الَّذِي أَعْطَاكَ؟ فَقُلْتُ قَمِيصُهُ، فَقَالَ لَيْسَ نَفْجَعُكَ بِهِ وَلَكِنْ بُلَّهُ وادْفَعْ إِليّ الْمَاءَ لأَتَبَرَّكَ بِهِ. اهـ

[11] Imam al-Syatibi, al-I’tisom, Saudi: Dar Ibn Jauzi, jld. 2, hlm. 302.

إِلا أَنه عَارَضَنَا (7) فِي ذَلِكَ أَصل مقطوعٌ بِهِ فِي مَتْنه، مشكلٌ فِي تَنْزِيلِهِ، وَهُوَ أَن الصَّحَابَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ بَعْدَ موته صلّى الله عليه وسلّم لَمْ يَقَعْ مِنْ أَحد مِنْهُمْ شَيْءٌ مِنْ ذَلِكَ بِالنِّسْبَةِ إِلى مَنْ خَلَّفَهُ، إِذ لَمْ يَتْرُكِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعْدَهُ فِي الأُمة أَفضلَ مِنْ أَبي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ (8) رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، فَهُوَ كَانَ خليفتَه، وَلَمْ يُفعل بِهِ شَيْءٌ مِنْ ذَلِكَ (9)، وَلَا عُمَرَ بن الخطاب (10)، وهو كان أَفضلَ الأُمة بعده، ثم كذلك عثمان بن عفان (11)، ثم عليّ بن أبي طالب (12)، ثُمَّ (13) سَائِرُ (14) الصَّحَابَةِ الَّذِينَ لَا أَحد أَفضل مِنْهُمْ فِي الأُمة، ثُمَّ (15) لَمْ يَثْبُتْ لِوَاحِدٍ مِنْهُمْ مَنْ طَرِيقٍ صَحِيحٍ مَعْرُوفٍ أَن متبرِّكاً تَبَرَّكَ بِهِ عَلَى أَحد تِلْكَ الْوُجُوهِ أَو نَحْوِهَا، بَلِ اقْتَصَرُوا فِيهِمْ عَلَى الاقتداءِ بالأَفعال والأَقوال والسِّيَر التي اتّبعوا

فِيهَا النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَهُوَ إِذاً إِجماع مِنْهُمْ عَلَى تَرْكِ تِلْكَ الأَشياء كُلِّهَا.

وَبَقِيَ النَّظَرُ فِي وَجْهِ تَرْكِ مَا تركوا منه، وهو يحتمل (1) وَجْهَيْنِ:

أَحدهما: أَنْ يَعْتَقِدُوا فِيهِ (2) الِاخْتِصَاصَ، وَأَنَّ مَرْتَبَةَ (3) النُّبُوَّةِ يَسَعُ فِيهَا ذَلِكَ كُلُّهُ؛ لِلْقَطْعِ بِوُجُودِ مَا الْتَمَسُوا (4) مِنَ الْبَرْكَةِ وَالْخَيْرِ؛ لأَنه صلّى الله عليه وسلّم كَانَ نُورًا كلُّه فِي ظَاهِرِهِ وَبَاطِنِهِ (5)، فَمَنِ الْتَمَسَ مِنْهُ نُورًا وَجَدَهُ عَلَى أَي جِهَةٍ الْتَمَسَهُ، بِخِلَافِ غَيْرِهِ مِنَ الأُمة، فإِنه (6) وإِن حَصَلَ لَهُ مِنْ نُورِ الاقتداءِ بِهِ والاهتداءِ بِهَدْيِهِ مَا شاءَ اللَّهُ؛ لَا يَبْلُغُ مَبْلَغَهُ على حال، ولا يوازيه (7) فِي مَرْتَبَتِهِ، وَلَا يُقَارِبُهُ (8)، فَصَارَ هَذَا النَّوْعُ مُخْتَصًّا بِهِ كَاخْتِصَاصِهِ بِنِكَاحِ مَا زَادَ عَلَى الأَربع (9)، وإِحْلالِ بُضْع الواهِبَةِ نفسَها لَهُ (10)، وَعَدَمِ وُجُوبِ القَسْم عَلَى الزَّوْجَاتِ (1) وَشِبْهِ ذَلِكَ. فَعَلَى هَذَا المأْخذ: لَا يَصِحُّ لِمَنْ بَعْدَهُ الاقتداءُ بِهِ فِي التبرُّك عَلَى أَحد تِلْكَ الْوُجُوهِ وَنَحْوِهَا، وَمَنِ اقْتَدَى بِهِ كَانَ اقْتِدَاؤُهُ بِدْعَةً، كَمَا كَانَ الاقتداءُ بِهِ فِي الزِّيَادَةِ عَلَى أَربع نسوة بدعة.

والثاني (2): أَن لَا يَعْتَقِدُوا الِاخْتِصَاصَ، وَلَكِنَّهُمْ تَرَكُوا ذَلِكَ مِنْ بَابِ الذَّرَائِعِ خَوْفًا مِنْ أَن يُجعل ذَلِكَ سُنَّة ـ كَمَا تَقَدَّمَ ذِكْرُهُ فِي اتِّبَاعِ الْآثَارِ وَالنَّهْيِ عَنْ ذَلِكَ ـ، أَو لأَن (3) الْعَامَّةَ لَا تَقْتَصِرُ فِي ذَلِكَ عَلَى حَدّ، بَلْ تَتَجَاوَزُ فِيهِ الْحُدُودَ، وَتُبَالِغُ (4) بِجَهْلِهَا فِي الْتِمَاسِ الْبَرَكَةِ؛ حَتَّى يُدَاخِلَهَا للمتبرَّك بِهِ تعظيمٌ يَخْرُجُ (5) به عن الحَدّ، فربما اعتقدت (6) فِي المتبرَّك بِهِ مَا لَيْسَ فِيهِ، وَهَذَا التبرُّك هُوَ أَصل الْعِبَادَةِ، ولأَجله قَطَعَ عُمَرُ بن الخطاب (7) رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ الشَّجَرَةَ الَّتِي بُويِعَ تَحْتَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ (8)، بَلْ هُوَ كَانَ أصلَ عِبَادَةِ الأَوثان فِي الأُمم الْخَالِيَةِ ـ حَسْبَمَا ذَكَرَهُ أَهل السِّيَرِ (9) ـ، فَخَافَ عُمَرُ…..

[12] Ibn Raja bal-Hambali, al-Hukm al-Jadirah bi al-Iza’ah, Dimasyq: Dar al-Makmun, hlm. 252.

[13] Imam al-Syatibi, Op.cit.

[14] Ibid.

[15] Imam Ibn Taimiyyah, al-Fatawa al-Kubra, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, jld. 5, hlm. 358.

[16] Ahmad Al-Dardir, Syarah al-Kharidah al-Bahiyyah, Kaherah: Matba’ah Mustafa al-Halaby (1947), hlm. 39.

[17] وَيَقُولُ، أَيْ: لِلْحَجَرِ مُخَاطِبًا إِيَّاهُ لِيَسْمَعَ الْحَاضِرُونَ وَيَعْلَمُوا أَنَّ الْمَقْصُودَ الِاتِّبَاعُ لَا تَعْظِيمُ الْحَجَرِ كَمَا كَانَ عَلَيْهِ عَبَدَةُ الْأَوْثَانِ فَالْمَطْلُوبُ تَعْظِيمُ أَمْرِهِ تَعَالَى وَاتِّبَاعُ نَبِيِّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. (راجع حاشية السندي على سنن ابن ماجه، ج 2، ص 221)

[18] Ali al-Jumuah, Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. 2011. Kaherah.

وتوسّل السلم بالأنبياء وتبركه بشيء من آثارهم وفضلاتهم مع الإعتقاد بأّن المؤثر في ذلك إنما هوالله جل جلاله فلا ضير فيه؟ لأنّ

تعبيره هذا جاء موافقا لظاهر ما أقيم الكون عليه من قانون السببية الجعلية

[19] Ibn Hajar al-Asqalani, Op.cit.

[20] Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj Syarh Minhaj wa Hawasyai al-Syirwani wa al-Abbadi, Beirut: Dar al-Ihya’ al-Thurast al-Arabi, jld. 3, hlm. 176.

BACA JUGA:

Lisdawati ke jinjang pelamin sekali lagi, ikuti penjelasannya

Tular pegang alat sulit budak, terus masak, peniaga berdepan tindakan tegas

Tercari tips untuk dapat kuku sihat berkilat tanpa ke spa, ini caranya