Tol percuma 20, 21 Jan untuk semua lebuh raya di Malaysia. Pengumuman tol percuma bagi semua lebuh raya di negara ini pada 20 dan 21Januari ini pastinya menggembirakan rakyat, khususnya perantau yang berhasrat pulang ke kampung.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keringanan yang diberikan kepada semua kelas kenderaan bersempena Tahun Baharu Cina itu bertujuan bagi mengurangkan beban mereka, meskipun kerajaan berdepan dengan implikasi kewangan dengan anggaran sebanyak RM40 juta.
Sudah tentu ramai yang akan mengambil peluang ini kerana secara tidak langsung akan mengurangkan kos perjalanan masing-masing.
Bagaimanapun, ‘harga’ yang perlu dibayar oleh mereka tentunya kesesakan terutamanya di lebuh raya utama melibatkan perjalanan jauh seperti Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan Lebuhraya Utara-Selatan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebanyak 3.8 juta kenderaan bakal menggunakan lebuh raya di seluruh negara bersempena perayaan itu.
Isu kesesakan trafik bukanlah sesuatu yang asing di negara ini memandangkan pemilikan kenderaan bermotor di Malaysia kini dilaporkan mencecah kira-kira 33 juta, hampir menyamai jumlah keseluruhan rakyat.
Ia ditambah dengan rata-rata masyarakat kita yang mencari rezeki bukan di kampung halaman, maka ketika cuti atau perayaan menjelang tiba, kesempatan ini diambil untuk pulang ke kampung halaman untuk bertemu keluarga tersayang.
Meskipun mempunyai pilihan lain seperti menggunakan pengangkutan awam, namun penggunaan kereta masih dilihat terbaik.
Bagaimanapun, orang ramai diingatkan untuk tidak leka dengan keseronokan memandu di jalan raya memandangkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggariskan tujuh kesalahan utama lalu lintas yang tidak dikompaun, sebaliknya akan terus didakwa di mahkamah, bersempena perayaan ini.
Kesalahan tersebut adalah seperti tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar (bagi penunggang motosikal) dan memandu di lorong kecemasan.
Penguatkuasaan tersebut adalah bagi membendung daripada sebarang nahas jalan raya memandangkan sebanyak 402,626 kemalangan direkodkan pada tahun lalu.
Oleh itu, orang ramai hendaklah memastikan segala aspek keselamatan perjalanan perlu terjaga sebelum dan semasa pemanduan.
BACA JUGA :
PM New Zealand letak jawatan sebelum akhir Februari
Sikap prihatin yang tinggi, punca Rohingya bakal jadi beban kekal Malaysia
Sarawak bakal bina satu lagi Muzium Budaya Borneo di Bintulu