SEBAGAI manusia, kita perlu bersyukur sekiranya menjamah nasi dengan telur goreng jika dibandingkan dengan mereka yang hanya makan berlaukkan garam.
Namun terdapat juga individu lebih daif daripada itu sehingga terpaksa menyelongkar tong sampah untuk mencari sisa-sisa makanan bagi mengisi perut yang kelaparan.
Itulah terjadi kepada seorang lelaki warga emas yang dilihat sedang mencari cebisan makanan di tempat pembuangan sampah di sekitar Ipoh, Perak.
Menerusi laman Facebook Ipoh Com, terdapat video yang dikongsikan dan berjaya meraih lebih 9,700 perkongsian dalam masa 24 jam.
“Lokasi berdekatan UTC Pasar Besar di Ipoh. Pakcik mencari makanan dalam sampah dan memakan sisa yang dibuang oleh orang lain,” tulis kapsyen posting tersebut.
Menerusi video itu, warga emas itu kelihatan seperti gelandangan dengan memakai pakaian kotor dan keadaan dirinya yang tidak terurus. Dia juga kelihatan kurus dan agak kurang sihat malah sebaik sahaja menjumpai cebisan sisa itu, dia terus makan tanpa ragu-ragu.
Beberapa pengguna Facebook turut meninggalkan komen dimana mereka juga sering kelihatan pakcik berkenaan di sekitar Ipoh.