Yadim saran Malaysia Airlines lakukan tinjauan berkenaan pakaian pramugari

Yadim saran Malaysia Airlines lakukan tinjauan berkenaan pakaian pramugari.

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mengalu-alukan inisiatif syarikat penerbangan Malaysia, Malaysia Airlines melaksanakan tinjauan bagi mendapatkan pandangan orang ramai untuk membolehkan kakitangan wanita memilih untuk berhijab ketika bertugas dalam penerbangan domestik dan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada Malaysia Airlines atas inisiatif berkenaan.

Menurutnya, selain dapat memberi ruang untuk melaksanakan ajaran Islam, Yadim berpandangan inisiatif itu adalah satu langkah proaktif bagi menghentikan stigma dan eksploitasi kepada golongan wanita yang terbabit dalam industri berkenaan.

Katanya, usaha serta langkah konstruktif ke arah kebenaran kod etika pemakaian patuh syariah dalam kalangan kru penerbangan wanita ini wajar diberi pujian dan sokongan selaras dengan agenda mengangkat martabat wanita dan Islam Rahmah yang dibawa kerajaan hari ini.

“Langkah Malaysia Airlines ini bakal mengikuti beberapa syarikat penerbangan lain yang membenarkan pramugarinya menutup aurat seperti Royal Brunei Airline, EgyptAir dan Air Cairo, “katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini dilaporkan Malaysia Airlines menghantar borang kajian menerusi emel rasminya kepada pengguna dengan hasrat membawa pembaharuan kepada pakaian seragam pramugari bagi mendapatkan pandangan orang ramai.

BACA JUGA :

Sarawak berhasrat bina pusat kanser akhir tahun ini

Rusia beri amaran akan musnahkan 14 kereta kebal yang dihantar UK ke Ukraine

5,100 KG minyak masak paket bersubsidi dibungkus, disimpan tanpa kebenaran