Hospital Sungai Buloh ingin waris Mohd Roni Malik untuk tampil. Hospital Sungai Buloh sedang berusaha mengesan waris seorang lelaki yang meninggal dunia pada 31 Dis lepas dan mayatnya masih tidak dituntut di Jabatan Forensik hospital itu.
Hospital Sungai Buloh dalam kenyataan memaklumkan lelaki itu dikenali sebagai Mohd Roni Malik merupakan tahanan Penjara Sungai Buloh dan telah dimasukkan ke hospital berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia.
“Pihak Jabatan Penjara telah membuat pencarian waris terdekat bagi urusan pengebumian iaitu Sapinah Salleh (pasangan) dan Nurul Natasya Nabila Mohd Roni (anak) beralamat di Flat City Height, Taman Sri Sg Chua, 43000 Kajang, tetapi tiada waris ditemui mengikut alamat tersebut,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Hospital Sungai Buloh memohon waris si mati ataupun orang ramai yang mengenali si mati dan waris supaya tampil memberikan maklumat dengan hadir ke Jabatan Kerja Sosial Perubatan hospital berkenaan.
Mereka yang mengenali si mati boleh menghubungi Nur Hanani Mohd Nasir di talian 03-61454333 sambungan 2256 atau Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh di talian 03-61454333 sambungan 3100.
BACA JUGA:
Wakil rakyat Pas bantah penjualan arak adalah wajar – Presiden Gerakan
Dua penumpang cedera akibat ’Power Bank’ terbakar dalam pesawat