Ibu maut dalam kemalangan, anak dan cucu cedera ringan.
Seorang warga emas maut manakala anak perempuan dan cucunya cedera selepas kereta dinaiki hilang kawalan dan masuk ke dalam parit di Kilometer 7.9 Jalan Muar-Yong Peng dekat sini pada Rabu.
Dalam kemalangan tersebut, Hazanah Ariff, 75, meninggal dunia manakala anaknya, Farah Nur Amin, 29, yang memandu kereta tersebut dan anak Farah dikenali sebagai Siti Nur Ain, 4, cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kemalangan berlaku pada jam 2.50 petang melibatkan kereta jenis Toyota Altis dipandu anak warga emas tersebut.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Altis tersebut dalam perjalanan dari arah Batu Pahat ke Parit Yaani. Apabila sampai di tempat kejadian berhadapan Masjid Jamek Sri Wangi, kenderaan tersebut telah hilang kawalan.
“Kereta berkenaan kemudian terbabas masuk ke dalam parit di bahu kanan jalan. Tempat kejadian merupakan jalan utama keadaan jalan satu lorong dua hala dan keadaan hujan lebat menyebabkan jalan basah dan licin.
“Akibat kejadian tersebut, warga emas berkenaan telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala mangsa (pemandu) serta anaknya cedera ringan dan telah dibawa ke Klinik Kesihatan Yong Peng untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Penguasa Bomba Kanan II Sulaiman Md Lamin berkata, sembilan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah Fire Response Vehicle (FRV) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kereta berkenaan masuk ke dalam parit sedalam 2 meter. Pihak bomba masuk ke parit menggunakan tali dan mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan road traffic accident (RTA).
“Semua mangsa diserahkan kepada pegawai perubatan dan pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada jam 3.10 petang,” katanya.
BACA JUGA :
Seramai 6,309 mangsa banjir di Sabah dipindah ke pps
Ubur-ubur beracun ditemui di Pantai Seberang Takir
Presma jelaskan sebab harga makanan di restoran tidak akan diturunkan buat masa ini