Pakar Industri cadang jual Manchester United.
Penjualan Chelsea yang melakar rekod tahun lalu membuktikan kepada keluarga Glazer bahawa sekarang adalah masa yang sesuai untuk menjual Manchester United, pakar industri memberitahu Reuters.
Jutawan Britain dan penyokong setia United, Jim Ratcliffe sudah memasuki proses bidaan untuk membeli juara Liga Perdana Inggeris 20 kali itu selepas dia gagal membeli Chelsea yang dijual pada harga AS$5.2 bilion (RM22.2 bilion) pada Mei lalu.
United gagal memenangi kejuaraan liga dalam sedekad dengan Glazers menjadi sasaran beberapa protes penyokong, tetapi kelab itu masih menjadi prospek yang menarik, menurut Neil Joyce, Ketua Pegawai Eksekutif & pengasas bersama CLV Group.
“Penjualan Chelsea pada 2022 bermakna kadar jualan itu sudah dipersetujui untuk nilai kelab Liga Perdana.
“Jika anda menggunakan kaedah tradisional untuk menilai kelab, yang mungkin antara lapan hingga 10 kali ganda untungnya, jumlah AS$5 bilion itu mungkin paling sedikit,” kata Joyce.
The Glazers membeli United dengan harga 790 juta pound (RM4.19 bilion) pada tahun 2005 dalam perjanjian yang menerima kritikan kerana menambahkan hutang kepada kelab.
Hutang bersih United meningkat hampir 23 peratus pada September lalu, tetapi itu tidak akan menghalang pelabur berpotensi untuk membeli kelab berkenaan, kata Joyce dan Spencer Harris, Profesor Madya Pengurusan Sukan di Universiti Colorado.
“Dalam pasaran rasional, hutang seperti ini secara langsung akan mempengaruhi proses bidaan dan harga,” kata Harris.
BACA JUGA:
Treler tong gas terbalik, pemandu tersepit